KUALA LUMPUR 8 Sept - Kerugian Serba Dinamik Holdings Berhad mengecil kepada RM105.02 juta pada suku keempat berakhir 30 Jun 2023 (4QFY23) berbanding RM327.76 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya.
Perkara itu disokong oleh pendapatan operasi yang lebih tinggi dan perbelanjaan pentadbiran yang lebih rendah.
Pendapatan operasi kumpulan itu meningkat lebih dua kali ganda kepada RM3.92 juta berbanding RM1.63 juta pada 4QFY22.
Perbelanjaan pentadbiran berjumlah RM18.54 juta, turun 90.59% tahun ke tahun daripada RM197.02 juta.
"Walaupun syarikat berjaya mengurangkan kerugiannya bagi suku tersebut, hasil 4QFY23 turun 96.39% tahun ke tahun kepada RM6.15 juta daripada RM170.25 juta, kesan daripada segmen operasi dan penyelenggaraan yang jatuh kepada RM5.69 juta, daripada RM159.8 juta sebelumnya.
"Segmen pendidikan dan latihan juga mencatatkan hasil yang lebih rendah sebanyak RM454,000 daripada RM1.67 juta," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.
Bagi tahun kewangan penuh berakhir 30 Jun 2023 (FY23), kerugian bersih Serba Dinamik meningkat kepada RM1.3 bilion berbanding RM1.09 bilion setahun sebelumnya.
Ini adalah selepas perbelanjaan korporat syarikat dan penghapusan penyatuan transaksi antara kumpulan.
Hasil setahun penuh juga turun 70.18% tahun ke tahun kepada RM403.23 juta daripada RM1.35 bilion.
Mengulas mengenai prospek, kumpulan itu berkata, perniagaan kumpulan itu kekal mencabar untuk baki 2023 berikutan ketidaktentuan ekonomi global serta cabaran semasa yang dihadapi syarikat dari perspektif kecairan.
Menangani status Nota Amalan 17 (PN17), Serba Dinamik berkata lembaga pengarahnya berikrar untuk menyelesaikan isu itu termasuk pelan penstrukturan dan penyelarasan. - DagangNews.com