Kes COVID-19 heret KLCI ditutup rendah, saham Genetec pula tersungkur | DagangNews Skip to main content

Kes COVID-19 heret KLCI ditutup rendah, saham Genetec pula tersungkur

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 12 Ogos - Malaysia yang mencatatkan kes harian COVID-19 tertinggi hari ini telah mendorong pasaran ekuiti tempatan untuk berakhir lebih rendah daripada penutupan semalam.

 

Indeks utama, FBM KLCI menyusut 2.47 mata atau 0.16% kepada 1,501.97 mata daripada paras 1,504.44. 

 

Dagangan juga berakhir agak negatif apabila jumlah kaunter rugi iaitu sebanyak 576 mengatasi jumlah kaunter untung sebanyak 383. 

 

Baca : 21,668 rekod tertinggi COVID-19 hari ini, 7 negeri catat lebih 1,000 kes

 

Sementara, 449 kaunter tidak berubah dan 805 kaunter lagi tidak didagangkan. 

 

Mengejutkan pada pengakhiran sesi dagangan petang ini apabila saham Genetec Technology Berhad yang sejak kebelakangan ini berada di kaunter paling untung, sebaliknya berakhir di kaunter paling rugi. 

 

Saham Genetec menyaksikan kemerosotan 50 sen kepada RM26.50, di mana merupakan penyusutan kedua terbesar selepas Vitrox Corporation Berhad yang berakhir 90 sen lebih rendah kepada RM18.94.

 

Ini diikuti oleh saham Kuala Lumpur Kepong Berhad, Heineken Malaysia Berhad, Dutch Lady Milk Industries Berhad dan Petronas Gas Berhad.

 

Saham Kobay Technology Berhad sebaliknya ditutup dengan lonjakan terbesar sebanyak 47 sen kepada RM5.05. 

 

Turut merasai impak positif itu adalah saham Malaysian Pacific Industries Berhad yang berakhir 36 sen lebih tinggi kepada RM43.86. 

 

Dalam kalangan kaunter paling rancak diniagakan, saham KNM Group Berhad merampas kedudukan pertama, dengan lonjakan 1 sen kepada 20 sen. 

 

Ini diikuti oleh Saham Serba Dinamik Holdings Berhad yang ditutup 2 sen lebih tinggi kepada 42 sen. 

 

Baca : KLCI bermula positif, saham Serba Dinamik pula paling aktif

 

Menurut Trading Economics, kebanyakan pasaran saham di rantau Asia Pasifik didagangkan lemah, terutamanya disebabkan oleh kebimbangan terhadap perubahan kawal selia China selain penularan varian Delta.

 

Dalam masa sama, data Amerika Syarikat (AS) juga menunjukkan bahawa kadar inflasi di negara itu memuncak, tetapi meredakan kebimbangan terhadap Perbendaharaan Persekutuan AS yang bergegas mahu mengurangkan sokongannya. - DagangNews.com