Kesihatan dan keselamatan peti suara tumpuan sambutan Hari Suara Sedunia | DagangNews Skip to main content

Kesihatan dan keselamatan peti suara tumpuan sambutan Hari Suara Sedunia

oleh Profesor Datin Dr. Marina Mat Baki

BUAT julung kalinya, sambutan Hari Suara Sedunia akan diadakan secara besar-besaran dengan memberi tumpuan kepada isu kesihatan dan keselamatan peti suara yang amat penting, terutamanya kepada golongan profesional yang menggunakan suara untuk kerjaya mereka seperti artis, pendidik dan penceramah.

 

Program yang bertemakan “Suara Nadi Kehidupan” tersebut akan dirasmikan oleh Menteri Sumber Manusia, Yang Berhormat Tuan V. Sivakumar, di Dewan Tan Sri Lee Lam Thye, Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Bandar Baru Bangi pada 20 Mei 2023.

 

Ia dianjurkan bersama oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dan NIOSH bersempena “Hari Suara Sedunia” yang disambut pada 16 April setiap tahun.

 

Fokus utama program sehari tersebut adalah untuk memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai penjagaan peti suara serta faktor-faktor yang boleh menyebabkan kerosakan dan memberi risiko berlakunya kanser pada organ tersebut.


 

Profesor Datin Dr. Marina Mat Baki
                 Profesor Datin Dr. Marina Mat Baki

 


Para pakar yang akan turut serta dalam program tersebut akan berkongsi maklumat mengenai pelbagai jenis kerosakan peti suara serta kaedah rawatan yang bersesuaian.

 

Melalui pelbagai aktiviti yang dijalankan, kita berharap ia dapat menimbulkan kesedaran mengenai masalah berkaitan peti suara yang seharusnya menjadi satu aspek keselamatan pekerjaan yang perlu dititikberatkan.

 

Peti suara amat penting untuk percakapan dan pernafasan yang merupakan nadi kehidupan. Oleh itu, penyebaran maklumat secara berkesan dan kreatif seperti ini amat penting agar orang ramai faham mengenai langkah-langkah penjagaan peti suara yang berkesan.

 

Antara aktiviti yang dirancang pada hari tersebut adalah saringan kesihatan peti suara dan endoskopi, pameran serta bengkel berkaitan kesihatan dan keselamatan peti suara.

 

Endoskopi peti suara ini membolehkan strukur, pergerakan dan getaran pita suara dapat dilihat untuk mengenal pasti kesihatannya.


 

parafrasa

 


Bengkel pula diadakan dalan bentuk kumpulan kecil untuk memberi latihan “warm up” suara dan menyampaikan pengetahuan mengenai “vocal hygiene” yang amat penting untuk mencegah kecederaan pita suara sebelum lontaran suara dilakukan untuk nyanyian, ceramah, pengajaran dalam kelas dan sebagainya.

 

Lebih menarik, penyanyi yang juga jurulatih vokal terkenal tanah air Datuk Syafinaz Selamat akan turut mengendalikan forum khas bertajuk “Suara untuk Bekerja dan Bekerja untuk Suara” pada hari tersebut.

 

Turut serta sebagai ahli panel forum ialah Sham Visa (penyanyi dan jurulatih luar NIOSH), Anne James (pelakon teater dan pensyarah sambilan vokal ASWARA) dan Dr. Muhamad Arif Muhamad Nordin (doktor kesihatan pekerjaan NIOSH).

 

ASWARA akan turut menampilkan pelbagai persembahan yang memberi penekanan terhadap vokal melibatkan tenaga pengajar dan para pelajar dalam bidang berkaitan.

 

Selain menyediakan pelbagai kemudahan untuk program tersebut, NIOSH akan turut bekerjasama dengan UKM dan ASWARA untuk menjalankan penyelidikan, menyediakan khidmat rundingan dan membangunkan modul latihan yang turut mengambil kira kesihatan dan keselamatan peti suara.


 

parafrasa

 


Sebagai agensi yang diberi tanggungjawab untuk meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) di Malaysia, NIOSH sentiasa menyokong usaha kerajaan dan pihak-pihak lain untuk menyediakan penyelesaian komprehensif untuk semua masalah keselamatan dan kesihatan pekerja.

 

Kami amat berterima kasih kepada NIOSH kerana sudi berkolaborasi, berkongsi pengalaman dan kemudahan untuk membantu meningkatkan aspek KKP dalam industri kreatif termasuk dalam kalangan profesional vokal. - DagangNews.com

 

 

Profesor Datin Dr. Marina Mat Baki merupakan Timbalan Dekan (Hal Ehwal Jaringan, Industri dan Masyarakat), Fakulti Perubatan UKM dan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Hari Suara Sedunia