Pemandangan pembangunan Putrajaya yang dirakam Ishan@seeformthesky (menerusi laman web unsplash)
Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 25 Ogos - Malaysia dijangka berdepan risiko penurunan profil kredit yang dilihat boleh menjejaskan keyakinan pelabur dan memberi tekanan kepada pasaran kewangan negara.
Peningkatan kes jangkitan COVID-19, sekatan pergerakan yang masih berpanjangan dan pertumbuhan ekonomi perlahan di tengah-tengah ketidaktentuan politik meningkatkan kebimbangan terhadap prospek penarafan kredit berdaulat ini.
Namun, Kenanga Research berkata, penurunan ini dilihat hanya sementara dan terbatas kerana pelabur telah mengambil kira kesemua faktor yang berlaku kepada negara.
"Kemungkinan penurunan penarafan berdaulat dalam kalangan agensi utama ini bergantung kepada sejauh mana kestabilan politik, tetapi prospek pemulihan ekonomi dan pengukuhan semula fiskal akan mengehadkan risiko penurunan ini.
"Namun begitu, melihat kepada imbangan fiskal yang lemah, pertumbuhan perlahan di tengah-tengah jangkitan COVID-19 yang tinggi serta kemelut politik, kami menjangkakan semakan semula ini akan dibuat pada suku keempat 2021," katanya dalam nota kajian hari ini.
Sebelum ini, agensi kredit global iaitu S&P Global Rating, Moody’s Investor Service dan Fitch Ratings masing-masing menurunkan penarafan mereka ekoran prospek pertumbuhan yang lemah, pergolakan politik dan tekanan luaran yang semakin meningkat.
Pada Jun 2020, S&P mengesahkan penarafan kredit Malaysia kepada A- tetapi menyemak semula kepada prospek negatif berbanding stabil sebelum itu setelah mengambil kira risiko kedudukan fiskal disebabkan krisis wabak dan ketidaktentuan politik.
Ini diikuti dengan Moody's yang mengesahkan profil kredit negara pada A3 dengan prospek stabil pada 3 Jun lalu, mencerminkan prospek pertumbuhan kukuh negara dalam tempoh sederhana.
Fitch pula dalam tempoh lebih 16 tahun lalu, telah menyemak semula prospek beberapa kali tetapi mengekalkan penarafan A- sebelum menyemak turun profil kredit Malaysia kepada BBB+ dengan prospek stabil pada Disember 2020 disebabkan pandemik COVID-19. Ia adalah semakan menurun kali pertama sejak krisis kewangan Asia.
"Persoalannya kini, bila agensi ini akan menurunkan penarafan mereka? Ini memandangkan Fitch adalah agensi pertama yang menurunkan penarafan Malaysia dengan BBB+ (prospek stabil), kami berpendapat, kemungkinan besar S&P akan menurunkan penarafan selepas kali terakhir membuat semakan pada 27 Jun 2021 dengan memberi prospek negatif daripada stabil dengan penarafan A-.
"Dalam pada itu, Moody's belum berubah daripada penarafan A3 dengan tinjauan stabil sejak Januari 2016. Ini bermakna, Moody's mungkin perlu menyemak semula penarafan A3 kepada prospek negatif berbanding stabil sebelum membuat sebarang semakan penurunan," jelasnya.
Kenanga Research berkata, ketidaktentuan persekitaran politik mungkin akan membawa risiko penurunan sekiranya ia menangguhkan pembentangan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) yang dijangka pada 20 September ini diikuti Belanjawan 2022 pada 29 Oktober.
Agensi utama penarafan pula, katanya, sebelum ini telah memberi isyarat bahawa sebarang tekanan kepada penurunan penarafan ini akan meningkat jika ketidaktentuan politik semakin merosot yang boleh menjejaskan dasar dan pembuatan keputusan.
"Bagaimanapun, pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri ke-9 diharapkan dapat meredakan kebimbangan dan mengurangkan kegelisahan pelabur walaupun beliau dijangka berdepan undi percaya apabila Parlimen kembali bersidang 6 September ini, seperti dititahkan Yang di-Pertuan Agong," jelasnya.
Namun, menurut firma itu, risiko politik dan ketidaktentuan dasar masih menjadi faktor utama di sebalik pelantikan Ismail Sabri, kerana beliau memperoleh sokongan majoriti yang tipis.
Sehubungan itu, katanya, kesan risiko politik dan dasar yang tidak konsisten dapat segera dilihat dalam skor Indikator Tadbir Urus Dunia (WGI) Bank Dunia yang akan dikeluarkan pada 24 September depan.
"Kemerosotan skor WGI ini dapat meningkatkan kemungkinan penurunan penarafan daripada agensi penarafan kredit terutama Fitch dan Moody's kerana indikator ini digunakan sebagai input keputusan penilaian mereka.
"Tetapi, prospek pemulihan ekonomi yang stabil didorong pembukaan semula ekonomi secara berperingkat dan pengukuhan fiskal dalam tempoh sederhana akan memberi sokongan kepada penurunan penarafan WGI ini," katanya.- DagangNews.com