Ketegangan AS-China jejas harga minyak global | DagangNews Skip to main content

Ketegangan AS-China jejas harga minyak global

 

 

 

NEW YORK 8 Dis. - Harga minyak jatuh 1% pada Isnin susulan meningkatnya jangkitan COVID-19 dan hubungan yang tegang antara Amerika Syarikat (AS) dan China. 

 

Reuters melaporkan Brent susut 46 sen atau 0.9% kepada AS$48.79 setong manakala West Texas Intermediate (WTI) turun 50 sen atau 1.1% kepada AS$45.76 setong. 

 

Sebelum ini, agensi media antarabangsa itu melaporkan secara eksklusif bahawa AS bersedia untuk melaksanakan sekatan ke atas pegawai China ekoran dakwaan penglibatan mereka dalam membatalkan pengundian wakil rakyat pembangkang di Hong Kong.

 

Ketegangan antara AS dan China, yang merupakan pengguna utama minyak dunia, telah memberi tekanan kepada pasaran sejak akhir-akhir ini.
 

Sebagai pengimport minyak mentah utama dunia, China telah membantu dalam menyokong harga minyak tahun ini. Dalam tempoh 11 bulan, negara terbabit mengimport 503.92 juta tong atau 10.98 juta tong sehari (bpd) meningkat 9.5% berbanding tahun sebelumnya. 

 

Malah, import minyak mentah China pada November meningkat berbanding bulan sebelum itu, berdasarkan data yang dikeluarkan Pentadbiran Am Kastam semalam.

 

Di peringkat global, peningkatan kes COVID-19 menyebabkan beberapa negara mula kembali melaksanakan perintah berkurung termasuk di California, AS; Jerman dan Korea Selatan. 

 

Minggu lalu, kedua-dua kontrak harga minyak Brent dan WTI meningkat 2% selepas pengeluar minyak bersekutu Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC+) bersetuju meningkatkan pengeluaran mulai Januari tetapi meneruskan sebahagian besar bekalan yang ada.  

 

Firma penyelidikan ekonomi, Capital Economics dalam laporannya berkata, pengeluaran OPEC+ akan meningkat sedikit dari yang dipersetujui kerana permintaan yang lemah pada suku pertama serta potongan pampasan.

 

Dalam masa sama, Morgan Stanley turut menaikkan unjuran Brent bagi tempoh jangka masa panjang kepada AS$47.50 setong berbanding AS$45 setong manakala WTI pula kepada AS$45 setong daripada AS$42.50 setong. - DagangNews.com