Ketidaktentuan Bajet 2021 heret KLCI susut 6.48 mata | DagangNews Skip to main content

Ketidaktentuan Bajet 2021 heret KLCI susut 6.48 mata

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 10 Nov. - Ketidaktentuan sekiranya Belanjawan 2021 yang telah dibentangkan Jumaat lalu bakal diluluskan telah mendorong pasaran saham Malaysia untuk dibuka lebih rendah hari ini. 

Semalam, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan pendirian untuk tidak menyokong Belanjawan 2021 sekiranya pelbagai isu yang diketengahkan oleh pihaknya tidak diterima.

Menurut CGS-CIMB Research dalam nota kajian KLCI hari ini, perkara berkenaan telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan para pelabur. 

Setakat 9.02 pagi, KLCI merudum 6.48 mata atau 0.43% mencecah paras 1,517.84.

Bagaimanapun, indeks penanda aras itu masih melepasi paras 1,500 yang mungkin dibantu oleh kadar pengangguran yang terus menunjukkan penurunan setakat September 2020 dan peningkatan harga minyak sawit mentah (MSM).

Semalam, Jabatan Perangkaan Malaysia mengeluarkan kenyataan bahawa kadar pengangguran Malaysia menurun sehingga 4.6%.

Dalam masa sama, peningkatan harga MSM melepasi paras RM3,000 setiap tan metrik menarik minat para pelabur ke saham-saham perladangan.

Rakuten Trade Research berkata, syarikat seperti Genting Malaysia Berhad dan AirAsia Berhad mungkin menyaksikan beberapa reaksi positif dengan kaunter perladangan terus menikmati harga MSM yang menghampiri paras RM3,500 bagi setiap tan metrik. 

“Di pasaran tempatan, kami menjangkakan KLCI akan kekal menunjukkan trend peningkatan walaupun kami meramalkan beberapa penjualan saham sarung tangan hari ini.

“Oleh itu, indeks itu dijangka melepasi paras 1,530 ekoran pembelian besar terutamanya dalam saham murah,” kata Rakuten Trade dalam nota kajian pasarannya.

Sementara itu, Trading Economics berkata, Dow Jones dan S&P 500 menghampiri paras tertinggi dengan bursa utama di Eropah ditutup 5% lebih tinggi selepas laporan vaksin COVID-19 oleh Pfizer/BioNTech menunjukkan keberkesanan sehingga 90%.

Jelas Trading Economics, laporan itu sekaligus melonjakkan pasaran saham global pada sesi awal dagangan. - DagangNews.com