SHAMSUL ANUAR NASARAH (dua, kanan) mendengar penjelasan dari Mahdzir Khalid (tengah) mengenai Projek Kampus Platinum TNB pada sesi lawatan kerja ke TNB di Kompleks Ibu Pejabat TNB di Bangsar petang semalam. Hadir sama, Baharin Din (kiri) dan Roslan Ab Rahman (kanan). Gambar: TNB
Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 21 April - Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berpuas hati terhadap usaha Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang mengukuhkan bekalan elektrik negara dalam usaha berterusan syarikat utiliti negara itu meningkatkan perkhidmatan dan memperkasa pengguna.
Menurutnya, menjadi hasrat kerajaan untuk rakyat terus mendapat bekalan elektrik dengan harga yang berpatutan serta pada masa sama, TNB dapat terus berdaya maju bagi meneruskan pelaburan modal dan mendapat pulangan setimpal yang boleh dikongsi dengan rakyat serta para pemegang sahamnya.
“Kita nak (TNB) menjaga dan sama-sama membantu kerajaan menjaga kepentingan rakyat,” katanya pada sesi lawatan kerja ke TNB di Kompleks Ibu Pejabat TNB di Bangsar petang semalam.
Sepanjang tiga jam sesi lawatan, Shamsul Anuar diberikan taklimat mengenai pemodenan sistem Rangkaian Pembahagian (Distribution Network) TNB yang mengambil kira keperluan rakyat, rancangan pelaburan modal TNB untuk tempoh 2022 hingga 2024, serta taklimat ringkas mengenai Kampus Ibu Pejabat baharu TNB yang sedang dalam pembangunan.
Turut hadir pada sesi lawatan itu adalah Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Presiden; Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din; Ketua Pegawai Kawal Selia dan Pengurusan Stakeholder TNB, Datuk Roslan Ab Rahman; barisan delegasi Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) serta pengurusan tertinggi TNB.
Kata beliau lagi, pengalaman dari pandemik COVID-19 jelas menunjukkan tindakan bersama kerajaan dan TNB membolehkan “kita berkongsi kesusahan rakyat” dengan TNB sendiri membuat pelbagai sumbangan dengan nilai yang amat besar.
Dalam pada itu, Shamsul Anuar turut memuji pencapaian TNB meningkatkan kualiti bekalan elektrik, antaranya dengan Sistem Indeks Purata Tempoh Gangguan (SAIDI) di Semenanjung menurun secara konsisten di bawah paras 60 minit sejak 2014 sehingga mencapai 44.95 minit pada tahun lalu.
Walaupun SAIDI yang merupakan ukuran tempoh gangguan bekalan elektrik ini antara terendah dibandingkan negara-negara Asia Tenggara dan sebilangan negara membangun, beliau mahu TNB meneruskan usaha untuk menurunkannya lagi.
“Tentunya kita nak lebih rendah daripada itu,” ujarnya lanjut.
Sementara itu, Mahdzir dalam ucapannya berkata, beliau yakin TNB dengan kekuatan lebih 35,000 warga kerja di bawah pimpinan Baharin mampu untuk terus menerangi negara selain melaksanakan program yang dirancang kerajaan.
Ini antaranya, mempertingkatkan lagi kualiti bekalan elektrik dan peranan tenaga solar serta meningkatkan peluang pekerjaan melalui program latihan semula dan peningkatan kepakaran (reskilling dan upskilling) bagi memenuhi keperluan bekalan industri tenaga.
Lebih daripada 15,000 orang akan dilatih dalam program tersebut menjelang 2024, katanya lagi. - DagangNews.com