KUALA LUMPUR 27 Julai - Khazanah Nasional Berhad akan terus fokus kepada usaha pengukuhan syarikat dalam portfolio pelaburannya dan mengembangkan lagi kehadiran di peringkat global melalui peranan sebagai pemain korporat yang aktif.
Mereka menyokong penuh pandangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meningkatkan lagi perspektif serantau terhadap ekonomi Malaysia.
"Kami bersemangat untuk merealisasikan Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat bersama Perdana Menteri.
"Visi "Ekonomi Madani" memberikan pandangan positif dan memberangsangkan untuk masa depan negara terutamanya ketika berada dalam ketidaktentuan global, dengan cabaran seperti inflasi, perubahan iklim dan risiko geopolitik yang memberi kesan kepada pembangunan ekonomi.
"Di Khazanah, strategi Memajukan Malaysia kami sejajar dengan visi Perdana Menteri yang tertumpu kepada peningkatan kualiti hidup segenap rakyat Malaysia, dan transformasi ekonomi serta peningkatan daya saing negara," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Khazanah berkata, pihaknya sentiasa berusaha untuk menjana pertumbuhan yang mampan dalam syarikat pelaburan untuk memastikan daya saing di peringkat global.
Inisiatif utamanya adalah menerajui usaha pembinaan negara secara usaha sama dengan UEM Group melalui platform pelaburan hijau baharu, bagi memacu agenda penyahkarbonan Malaysia dan memupuk ekonomi yang lebih hijau.
"Platform ini juga bertujuan untuk membuka kunci nilai dalam portfolio Khazanah yang sedia ada, mencapai pulangan komersial melalui pelaburan baharu dan kerjasama dengan syarikat tempatan dan antarabangsa yang berpotensi tinggi.
"Komitmen Khazanah melangkaui perihal kewangan. Bersama entiti gabungan kami, Yayasan Hasanah, Khazanah Research Institute dan Think City, kami bersedia untuk menyokong penciptaan impak sosioekonomi yang lebih bermakna untuk rakyat.
"Antara inisiatif yang disebutkan dalam pelancaran Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat termasuk pemulihan dan pemuliharaan bangunan warisan bersejarah seperti bangunan ikonik Sultan Abdul Samad, yang diterajui oleh kami dengan kerjasama Think City," katanya.
Selain itu, Khazanah juga berbangga untuk bekerjasama dengan Yayasan Hasanah bagi melaksanakan tanggungjawab korporat dalam menangani isu masyarakat, sosial dan alam sekitar yang mendesak di Malaysia. Dalam bidang penyelidikan, Khazanah Research Institute (KRI) akan terus melaksanakan penyelidikan pembangunan ekonomi dan cadangan dasar untuk negara.
Selain itu, Khazanah juga sudah mengambil langkah penting untuk memacu daya saing ekonomi dan daya tahan negara melalui pelbagai inisiatif.
Sebagai mereka telah memperuntukkan RM6 bilion bagi tempoh lima tahun untuk inisiatif Dana Impak kami, yang telah melancarkan program-program seperti Future Malaysia Programme (FMP) yang bermatlamat untuk menyokong ekosistem pemula tempatan, dan Future Malaysia Skills (FMS) yang tertumpu kepada pembangunan aliran bakat yang mampan melalui pelaburan terhadap peningkatan kemahiran dan kemahiran semula tenaga kerja dalam negara. - DagangNews.com