Khazanah terajui platform pelaburan hijau tarik pelaburan langsung baharu ke Malaysia | DagangNews Skip to main content

Khazanah terajui platform pelaburan hijau tarik pelaburan langsung baharu ke Malaysia

KUALA LUMPUR 27 Jun - Khazanah Nasional Berhad akan menerajui inisiatif pembangunan negara melalui platform pelaburan hijau baharu seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.

 

Platform pelaburan hijau itu, yang bertujuan untuk menarik pelaburan domestik dan luar negara, akan digerakkan UEM Group Berhad, anak syarikat milik penuh Khazanah.

 

Platform ini akan menyasarkan pelaburan dan pembinaan perniagaan dalam sektor hijau seperti tenaga boleh diperbaharui & storan, teknologi bangunan hijau & kecekapan tenaga, dan ekosistem e-mobiliti.

 

Selaras dengan strategi Memajukan Malaysia, Khazanah dan sebahagian daripada inisiatif pembangunan negara dan penciptaan nilai, platform tersebut dapat memenuhi mandat sosial, strategik dan kewangannya.

 

Rancangan Khazanah melalui platform itu adalah untuk memacu agenda penyahkarbonan negara di samping meningkatkan kemahiran rakyat Malaysia dalam sektor hijau dalam jangka masa panjang.

 

Platform itu juga diharapkan dapat membuka kunci nilai dalam portfolio sedia ada milik Khazanah dan mencapai pulangan komersial dengan membangunkan aset permulaan melalui pelaburan baharu dan bekerjasama dengan syarikat-syarikat tempatan dan antarabangsa yang berpotensi tinggi.

Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir
                                 Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir

 


Pengarah Urusan Khazanah, Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir berkata, visi Khazanah adalah pembangunan platform pelaburan hijau yang berdaya saing di peringkat global di rantau ini, dengan pendekatan pemilikan langsung dan aktif.

 

"Ini akan dijalankan secara berperingkat dengan objektif permulaan jangka pendek untuk mewujudkan juara-juara domestik hijau di negara ini, diikuti dengan matlamat jangka sederhana untuk mewujudkan platform yang berdaya saing di peringkat serantau.

 

“Platform itu akan menjadi sebahagian penting daripada inisiatif pembangunan negara dan penciptaan nilai kami, yang bertujuan untuk memacu agenda penyahkarbonan Malaysia dan kemampuan ekonomi, sambil membina keupayaan industri hijau negara dan meningkatkan kemahiran rakyat Malaysia untuk menyokong dan memperkuatkan industri-industri ini, dalam menuju ke arah ekonomi baharu,” ujar beliau.

 

Khazanah melalui UEM Group akan melancarkan strategi komprehensif dalam masa terdekat, yang menggariskan rancangan pelaburan strategik serta perkongsian dan kerjasama dengan entiti tempatan dan asing, termasuk pendekatan yang dirancang untuk menarik pelaburan hijau bagi mewujudkan ekosistem ekonomi hijau yang bertenaga dan dinamik.

 

“Kami mahu menyumbang ke arah aspirasi kerajaan dalam mewujudkan Malaysia sebagai pusat ketersambungan dan integrasi elektrik ASEAN untuk memudahkan perkongsian sumber tenaga boleh diperbaharui, meningkatkan pelaburan dan menggalakkan pembangunan mampan di rantau ini melalui penyatuan usaha daripada syarikat-syarikat kami,” kata Amirul Feisal.- DagangNews.com