KUALA LUMPUR 3 Julai - OceanMight Sdn Bhd, anak syarikat KKB Engineering Berhad (KKB), telah menghantar kumpulan pertama modul siap untuk fabrikasi modul Samsung E&A dan struktur keluli bagi projek loji gas darat Shell R&M Malaysia di Bintulu.
Kumpulan KKB berkata, iai merupakan peristiwa penting dalam kontrak fabrikasi modul yang terdiri daripada 28 struktur besar, termasuk 21 piperacks (PAR) prapasang, enam unit modul proses prapasang (PAU) dan gelincir, dengan jumlah berat kira-kira 9,300 tan metrik.
Sempena penghantaran tersebut, syarikat itu turut meraikan pencapaian satu juta jam pendedahan selamat dan 300 hari tanpa kecacatan untuk projek yang sama.
Pengarah Urusan Kumpulan KKB dan Pengarah OMSB, Kho Pok Tong berkata OceanMight tidak berkompromi dengan keselamatan dan kualiti kerana ia mengawal setiap aspek tingkah laku perniagaannya.
“Kami berbangga dengan pencapaian kami yang mengagumkan, dan saya ingin merakamkan ucapan terima kasih dan tahniah kepada pasukan komited dan tenaga kerja OMSB yang terdiri daripada kira-kira 1,200 kakitangan kerana menjayakan pencapaian yang bermakna ini.
“Sambutan ini menekankan komitmen kami yang tidak berbelah bahagi untuk memupuk budaya tempat kerja yang mengutamakan kesejahteraan pekerja kami, melindungi alam sekitar dan menggalakkan amalan mampan dalam operasi kami,” katanya dalam satu kenyataan.
Secara berasingan, OMSB telah menerima Anugerah Petronas OSHCIM Mentorship Programme 2.0 sebagai kontraktor utama dan pereka untuk projek Bakau Non-Associated Gas (NAG) pada Persidangan Penyampaian Projek dan Teknologi (PD&T) PETRONAS baru-baru ini. - DagangNews.com