KLCI berakhir positif, lonjakan mendadak saham Genetec dilihat ‘mencurigakan’ | DagangNews Skip to main content

KLCI berakhir positif, lonjakan mendadak saham Genetec dilihat ‘mencurigakan’

Gambar Reuters

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 13 Julai - Catatan tertinggi kes COVID-19 harian Malaysia yang melepasi angka 11,000 tidak menjejaskan momentum indeks pasaran utama, FBM KLCI untuk berakhir positif pada petang ini. 

 

FBM KLCI ditutup 6.67 mata atau 0.44% lebih tinggi kepada 1,519.56 daripada paras ditutup petang semalam, 1,512.89 mata. 

 

Mencuri tumpuan pada penutupan dagangan hari ini adalah saham Genetec Technology Berhad yang awalnya dibuka paling rugi, telah berakhir paling untung. 

 

Harga saham Genetec melonjak sehingga 11.26% atau RM1.88 kepada RM18.58. 

 

Peningkatan harga dan jumlah saham yang mendadak itu turut ‘dihidu’ Bursa Malaysia yang meminta Genetec untuk menjelaskan situasi tersebut. 

 

Turut mengungguli kaunter untung adalah saham Nestle (Malaysia) Berhad, Malaysian Pacific Industries Berhad, Fraser & Neave Holdings Berhad dan Computer Forms (Malaysia) Berhad. 

 

Baca : Mimpi ngeri jadi kenyataan, kes COVID-19 Malaysia mencanak ke angka 11,079

 

Dalam kalangan kaunter rugi, saham UMS Holdings Berhad masih mengungguli antara kedudukan teratas, selepas ‘ditegur’ Bursa Malaysia semalam berhubung kenaikan mendadak harga dan jumlah sahamnya. 

 

UMS berakhir 24 sen atau 7.95% lebih rendah kepada RM2.78. 

 

Sementara itu, saham Aeon Credit Service (M) Berhad ditutup 20 sen atau 1.64% lebih rendah kepada RM12, selepas mengumumkan pelupusan kepentingan oleh Aberdeen Asset Management Plc dan Abrdn Plc dalam kumpulan.

 

Pasukhas Group Berhad masih mengungguli kaunter paling aktif diniagakan, sahamnya melonjak 13.79% atau 4 sen kepada 33 sen. 

 

Ini diikuti oleh Pelikan International Corporation Berhad, Dagang Nexchange Berhad, Serba Dinamik Holdings Berhad dan Pegasus Heights Berhad.

 

Secara keseluruhannya, dagangan hari ini berakhir positif apabila kaunter untung sebanyak 506 mengatasi 415 kaunter rugi. - DagangNews.com