KLCI ‘bergelut’ capai paras 1,600 | DagangNews Skip to main content

KLCI ‘bergelut’ capai paras 1,600

Gambar Reuters

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 15 April - Pasaran ekuiti tempatan cuba untuk mendaki semula dan berjaya mencecah paras 1,600 buat seketika sebelum menyusut kembali. 

 

Setakat 9.03 pagi, indeks penanda aras pasaran utama di Bursa Malaysia, FBM KLCI menokok sedikit sebanyak 1.23 mata atau 0.08% daripada paras yang ditutup semalam, 1,598.28 kepada 1,599.51.

 

Dagangan pada pagi ini berprestasi agak positif apabila jumlah kaunter untung iaitu 198 mengatasi kaunter rugi, 85. 

 

Rakuten Trade Research menjangkakan FBM KLCI akan terus ‘tersekat’ dalam julat yang kecil kerana kurangnya pemangkin pembelian yang jelas. 

 

“Oleh itu, kami menjangkakan indeks itu akan terus didagangkan dalam jajaran 1,595 hingga 1,605 hari ini. 

 

“Kami mendapati bahawa jumlah dagangan harian juga menguncup apabila penyertaan pelabur runcit menurun dan pelabur asing sekali lagi menjadi penjual bersih semalam.

 

“Dari sudut positif, harga minyak mentah bertambah baik dengan mentah Brent kini berlegar pada paras AS$66 setong,” jelas firma penyelidikan itu dalam nota kajiannya. 

 

Di peringkat antarabangsa, aktiviti pengambilan untung muncul kembali di Wall Street.

 

“Dow Jones Industrial Average hampir mencecah paras 34,000 pada satu masa sebelum tewas kepada pengambilan untung, ditutup pada 33,730  atau 54 mata lebih tinggi, sementara kedua-dua S&P 500 dan Nasdaq berakhir lebih rendah.

 

“Bagi pasaran serantau, kami percaya dagangan berhati-hati akan berterusan ketika ketidaktentuan memuncak,” tambah Rakuten Trade. - DagangNews.com