KLCI hilang momentum, saham Sedania pula paling rancak dan antara untung pagi ini | DagangNews Skip to main content

KLCI hilang momentum, saham Sedania pula paling rancak dan antara untung pagi ini

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 


KUALA LUMPUR 18 Ogos - Bursa Malaysia kembali dibuka rendah pagi ini selepas menyaksikan prestasi kukuh dalam penutupan petang semalam.

 

Setakat 9.24 pagi ini, indeks utama FBM KLCI susut 1.11 mata atau 0.07% kepada 1,522.48 mata dengan 421 juta saham diniagakan bernilai RM140.18 juta.

 

Semalam, pasaran menyaksikan sentimen semakin positif terutama dengan pembukaan semula ekonomi dan kadar vaksinasi semakin meningkat.

 

Malacca Securities Research berkata, bagaimanapun sentimen masih kekal tidak menentu selagi Perdana Menteri baru belum dilantik bagi menangani situasi pandemik semasa dan keadaan ekonomi.

 

"Pelabur mungkin tertumpu kepada sektor yang mendorong ke arah pemulihan pasca COVID-19 seperti berkaitan pengguna, pengangkutan dan logistik serta pembinaan.

 

"Namun, mereka juga akan berhati-hati dengan beberapa saham berkaitan teknologi memandangkan keputusan China mengetatkan undang-undang persaingan bagi syarikat internet," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Keseluruhan pasaran menyaksikan kaunter rugi mengatasi untung pada 203 berbanding 136 manakala 286 kaunter tidak berubah dan 1,574 kaunter tidak diniagakan. 

 

Dalam kalangan kaunter aktif, saham Sedania Innovator Bhd. muncul antara saham aktif dan juga paling untung dalam dagangan pagi ini.

 

Harga sahamnya menokok 9.5 sen atau 15.08% kepada 72.5 sen dengan 27.59 juta saham diniagakan.

 

Saham Dataprep Holdings Bhd. pula mendahului kaunter untung menokok 16 sen kepada RM1.25 diikuti Greatech Technology Bhd. naik 10 sen kepada RM7.50. 

 

Sebaliknya, saham Genetec Technology Bhd. mendahului kaunter rugi susut 28 sen kepada RM26.14. 

 

Vitrox Corp. Bhd dan Kesm Industries juga masing-masing dibuka rendah dengan susut 26 sen dan 22 sen dalam dagangan pagi ini. 

 

Sementara itu, menurut Bloomberg, pasaran saham Asia dilihat berada dalam tekanan selepas ekuiti Amerika Syarikat (AS) mengalami kemerosotan terburuk dalam sebulan ekoran meningkatnya kebimbangan terhadap peningkatan semula jangkitan COVID-19 akan menjejaskan usaha pemulihan ekonomi. - DagangNews.com