Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 15 Sept. - Indeks penanda aras di Bursa Malaysia merosot pada penutupan petang ini menjelang cuti umum pada 16 September 2021, seiring prestasi pasaran Asia yang lemah.
Petang ini, FBM KLCI menyusut 0.25 mata kepada 1,555.26 daripada paras penutupan petang semalam, 1,555.51.
Pergerakan negatif itu disebabkan oleh penjualan saham dalam kaunter tenaga, pembinaan, telekomunikasi dan penjagaan kesihatan.
Kemerosotan itu juga sejajar dengan jangkaan firma penyelidikan, Malacca Securities Sdn Bhd yang percaya pasaran tempatan akan menyaksikan jualan berlebihan selain para pelabur akan terus memburu saham murah.
“Namun, kami masih percaya para pelabur akan menumpukan kepada sektor-sektor pemulihan yang berkaitan seperti penerbangan dan pengguna susulan pembukaan semula perniagaan di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“Selain itu, kaunter perladangan serta minyak dan gas mungkin meraih momentum ekoran peningkatan harga komiditi kerana Indeks Kering Baltik (BDI) terus meningkat, dan pelabur juga mungkin menumpukan sektor pengangkutan dan logistik dalam masa terdekat ini,” jelas firma itu dalam nota penyelidikannya, hari ini.
Saham Fraser & Neave Holdings Berhad berakhir paling rugi apabila merosot 48 sen kepada RM27.04 dengan 567 saham didagangkan.
Ini diikuti oleh saham Carlsberg Brewery Malaysia Berhad dan Panasonic Manufacturing Malaysia Berhad di mana masing-masing berakhir 44 sen dan 28 sen lebih rendah.
Dalam kalangan kaunter untung pula, saham Genetec Technology Berhad terus menyaksikan lonjakan besar, ditutup RM1.98 lebih tinggi kepada RM35.18.
Selain Genetec, turut merasai impak positif itu adalah saham Hong Leong Bank Berhad yang masih kekal berada di dalam kaunter untung sejak permulaan dagangan, melonjak 32 sen kepada RM18.78 setakat 5 petang ini.
Saham MLABS Systems Berhad pula berada dalam radar pelabur, berakhir 0.5 sen lebih tinggi kepada 4.5 sen dan sekitar 1.2 juta saham didagangkan.
Secara keseluruhannya, dagangan hari ini mencatatkan 519 kaunter rugi berbanding 492 kaunter untung, dengan 444 kaunter tidak berubah dan 812 lagi tidak didagangkan. - DagangNews.com