KLCI menokok 0.9% minggu lalu di sebalik krisis politik | DagangNews Skip to main content

KLCI menokok 0.9% minggu lalu di sebalik krisis politik

 

 


KUALA LUMPUR 24 Ogos - Kelemahan sentimen pasaran sepanjang minggu lalu ekoran memuncaknya krisis politik diimbangi dengan prestasi kukuh bagi saham berkaitan perladangan dan utiliti, menurut CGS-CIMB. 

 

Ini menyaksikan indeks utama FBM KLCI menokok 0.9% minggu ke minggudi sebalik tindakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kesemua anggota Kabinet melepaskan jawatan masing-masing pada 16 Ogos lalu. 

 

Bagaimanapun, sentimen itu dilihat semakin meraih momentum positif terutama apabila pelantikan baharu Perdana Menteri diketahui beberapa minit sebelum pasaran berakhir Jumaat lalu. 

 

Firma itu berkata, pelabur institusi tempatan paling banyak membeli saham Sime Darby bagi minggu berakhir 20 Ogos sebaliknya mereka menjual paling banyak saham CIMB.

 

"Pelabur runcit pula banyak membeli saham Public Bank dan menjual saham Tenaga Nasional Bhd. (TNB). 

 

"Bagi pelabur asing pula, mereka banyak membeli saham CIMB dan saham Public Bank paling banyak dijual," katanya dalam laporan strategik hari ini. 

 

Sepanjang minggu lalu juga menyaksikan volum purata dagangan harian meningkat 6% minggu ke minggu kepada 4.1 bilion unit.

 

Nilai purata dagangan harian pula susut 11% kepada RM2.2 bilion, menjadi paras terendah sejak tahun ini.

 

Didapati, pelabur runcit menguasai 35% dagangan diikuti pelabur institusi (34%), hak milik (14%) dan penama (17%).

 

CGS-CIMB berkata, pelabur runcit masih kekal pembeli bersih ekuiti tempatan berjumlah RM205 juta meningkat 162% minggu ke minggu. 

 

"Mereka paling banyak membeli saham berkaitan produk pengguna dan kewangan dengan pilihan utama Public Bank, Avillion dan Supermax," katanya.

 

Sebaliknya, pelabur asing banyak membeli saham utiliti dan teknologi terutama CIMB, Inari dan Hartalega.

 

Bagi pelabur institusi tempatan pula, jualan sahamnya meningkat 15 kali ganda kepada RM17 juta berbanding RM14 juta minggu sebelumnya.

 

"Saham perkhidmatan kewangan dan perladangan paling banyak dijual terutama CIMB, Greatec dan Inari," tambah firma itu. - DagangNews.com