KUALA LUMPUR 24 Ogos - Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK) mengemukakan cadangan pengambilalihan 739.2 juta saham dalam Boustead Plantations Berhad, mewakili 33% dan satu saham daripada jumlah saham terbitan firma perladangan daripada Boustead Holdings Bhd (BHB) pada harga RM1.15 bilion atau RM1.55 sesaham.
Menerusi cadangan pengambilalihan itu, BHB dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) akan hanya memiliki pegangan ekuiti kira-kira 35% dalam Boustead Plantations.
KLK dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, Boustead dan LTAT akan menjadi penawar bersama dengan KLK, dan akan bertanggungjawab melanjutkan tawaran pengambilalihan mandatori bagi memperoleh semua baki saham Boustead Plantations yang belum dimiliki oleh mereka untuk tawaran tunai sebanyak RM1.55 sesaham.
Katanya, pengambilalihan itu adalah sebahagian daripada kerjasama strategik untuk meningkatkan kecekapan operasi dan minyak sawit mentah (MSM) Boustead Plantations dalam jangka panjang.
KLK dan Boustead Plantations terlibat dalam perniagaan perladangan kelapa sawit dan terdedah kepada risiko biasa dalam sektor perladangan kelapa sawit seperti perubahan harga MSM, perubahan permintaan global untuk minyak dan lemak yang boleh dimakan.
Selain itu mereka juga berdepan risiko keadaan iklim yang buruk, perubahan undang-undang dan peraturan cukai, perkembangan keadaan politik, ekonomi, kawal selia dan sosial pasaran eksport utama, turun naik dalam kadar pertukaran wang asing, kekurangan bekalan buruh serta peningkatan dalam kos buruh dan/atau pengeluaran lain.
Cadangan kerjasama strategik itu juga berpotensi mendedahkan KLK kepada risiko yang berkaitan dengan penyepaduan perniagaan Boustead Plantations seperti fungsi perniagaan bertindih, pengurangan tenaga kerja dan komplikasi dalam penyepaduan teknologi maklumat dan sistem operasi lain.
"Tiada jaminan bahawa faedah yang dijangkakan daripada kerjasama itu akan direalisasikan atau dapat menjana pendapatan yang mencukupi untuk mengimbangi kos yang berkaitan dengan cadangan itu," katanya.
Katanya, ia akan membiayai pertimbangan pembelian melalui gabungan pinjaman bank dan dana yang dijana secara dalaman.
KLK dan Boustead telah menjadi rakan usaha sama sejak 1986 melalui Applied Agricultural Resources Sdn Bhd, yang terlibat dalam khidmat nasihat dan penyelidikan agronomik serta pengeluaran komersial benih kelapa sawit dan bahan penanaman.
"Hubungan kerja yang terjalin dengan Boustead melalui usaha sama tersebut akan memudahkan kerjasama bersama di bawah cadangan kerjasama strategik," katanya. - DagangNews.com