Nelissa Hilman dan WASIS Studio meraikan pelancaran koleksi barang kemas dinamakan SEED(PODS). Dipengaruhi dengan putaran musim, inspirasi koleksi ini diambil dari biji-biji tumbuhan seperti ros, labu dan bunga-bunga liar.
Selain itu, koleksi ini juga meneroka idea proses pembaharuan, terutamanya buat jenama Nelissa Hilman yang tatkala ini sedang menjalani proses pengembaraan kreatif yang baharu.
Koleksi kontemporari dan ultra-moden 12 jenis barang kemas ini merangkumi cincin, anting-anting serta kerongsang yang diperbuat dengan tangan lalu disalut dengan emas 24 karat.
Seiring dengan komitmen terhadap usaha kemampanan atau kelestarian, koleksi ini direka menggunakan kepingan tembaga yang dahulunya merupakan papan tanda pertama buat cawangan Nelissa Hilman sebelum penjenamaan semula sempena ulang tahun ke-10 jenama tersebut pada tahun ini.
Untuk melengkapkan lagi pengalaman visual para pelanggan Nelissa Hilman, koleksi ini juga dipersembahkan bersama sebuah instalasi visual yang direka khas oleh Flé Kuala Lumpur di samping pertunjukan secara langsung mengenai proses-proses pembuatan barang kemas tersebut oleh pereka dan pengasas WASIS Studio, Sakinah Hassan.
Dipersembahkan buat kali pertama pada acara Minggu Fesyen Kuala Lumpur pada Ogos lepas, koleksi barang kemas ini berharga diantara RM380 sehingga RM600.
Setiap item barang kemas hanya akan dibuat mengikut tempahan dan dihantar dalam jangka masa 2 hingga 4 minggu. Keseluruhan koleksi SEED(PODS) ini boleh dilihat melalui laman web Nelissa Hilman dan cawangan fizikal sulung Nelissa Hilman di Bangsar Village II, Kuala Lumpur.
Ditubuhkan pada tahun 2019, WASIS adalah sebuah jenama barang kemas kontemporari tempatan yang percaya dalam mereka bentuk barang kemas dengan menghormati serta mengambil inspirasi dari warisan dan tradisi Malaysia.
Setiap pasang barang kemas yang direka diinspirasi oleh bentuk objek objek abstrak serta harian. Jenama ini menggunakan loyang dalam koleksinya sebagai kehormatan terhadap warisan kebudayaan Terengganu, negeri asal Sakinah Hassan.
Nelissa Hilman mereka bentuk kasut yang menyambut para wanita. Dalam usaha untuk menghasilkan kasut yang sempurna, penekanan terhadap rekaan klasik diberikan dengan olahan keselesaan, kemudaan, kemapanan bahan, serta kepakaran.
Setiap pasang kasut dibuat secara tangan oleh pakar pembuat kasut tempatan demi meneruskan tradisi seni dan kepakaran industri pembuat kasut.
Sejak permulaan jenama ini di tahun 2012, Nelissa Hilman telah giat berkolaborasi dengan para pereka fesyen tempatan dan antarabangsa, artis visual serta studio reka bentuk. – DagangNews.com