Kongres Kebangsaan Dayak: Pan Borneo masih 'Pain' Borneo Highway | DagangNews Skip to main content

Kongres Kebangsaan Dayak: Pan Borneo masih 'Pain' Borneo Highway

Projek lebuh raya Pan Borneo yang belum siap menjadi rungutan ramai. - Gambar Facebook Pain Borneo

KUCHING 31 Mei - Keadaan semasa projek lebuh raya Pan Borneo terus dipanggil `Pain Borneo’ kerana kemajuannya `sangat perlahan' sedangkan ia merupakan laluan utama antara bandar di negeri Sarawak, kata Kongres Kebangsaan Dayak.

 

Presidennya Paul Raja berkata, walaupun menteri sering mengumumkan peratusan siap, ia tetap `menyakitkan' pengguna jalan raya kerana realitinya projek itu `sangat perlahan'.

 

"Semua pengumuman itu bukannya menenangkan rakyat tetapi makin menyakitkan kerana ia cenderung menunjukkan bahawa tidak ada kesungguhan dalam mempercepatkan penyiapan.

 

"Kerajaan mesti menjadikan keutamaan untuk menyelesaikannya dengan segera," kata Paul dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Beliau mengingatkan pihak berkuasa agar tidak melupakan tugas dan tanggungjawab kepada rakyat semasa mereka bergelut untuk terus hidup akibat wabak itu.

 

Menurut beliau, kerajaan perlu proaktif dalam memberi bantuan kepada rakyat bila-bila masa ia diperlukan.

 

 

paul raja
                                          PAUL RAJA

 

 

Mereka yang paling teruk terjejas adalah penduduk luar bandar di mana bekalan makanan bukan sahaja sukar diperoleh tetapi harga yang melambung tinggi telah menjejaskan mereka, tambahnya.

 

Paul juga menegaskan bahawa pelajar Dayak di kawasan luar bandar yang perlu hadir di institusi pengajian tinggi juga menghadapi beban kewangan untuk yuran mereka.

 

“Mereka yang melakukan perjalanan melalui udara menghadapi kesukaran dengan tiket penerbangan yang harganya sama sekali tidak masuk akal.

 

"Tindakan segera mesti diambil oleh Kementerian Pengangkutan untuk mengawal harga tambang penerbangan yang bukan kemewahan tetapi perkhidmatan penting,” katanya.

 

Beliau berkata Malaysia baru sahaja keluar daripada pandemik COVID-19 dan semua diingatkan agar berhati-hati dan berwaspada sepanjang masa, sama ada memandu di jalan raya atau menjaga keselamatan semasa perhimpunan.

 

“Sila ikut SOP prosedur kesihatan bagi memastikan sambutan Gawai kita tidak berubah menjadi tragedi,” katanya mengingatkan.

 

Beliau menambah bahawa ekonomi Malaysia secara amnya berada dalam kemelesetan sekarang dengan harga barangan dan perkhidmatan melambung tinggi, dan mengingatkan rakyat Sarawak supaya berjimat cermat dalam mereka berbelanja kerana perlu untuk bersiap sedia menghadapi hari hujan akan datang.

 

“Kami menghadapi banyak cabaran yang tidak pernah kami alami sebelum ini. Oleh itu, kita mesti bersedia dengan memperbaiki, menyediakan dan melengkapkan diri dalam apa jua perkara cara yang mungkin.

 

"Kami amat berharap agar Gawai Dayak 2022 ini akan membawa kemakmuran, kesihatan dan keamanan kepada masyarakat Dayak,” kata Paul.  — DagangNews.com