Konsortium JAKS Resources dipilih sebagai pengeluar tenaga solar CGPP | DagangNews Skip to main content

Konsortium JAKS Resources dipilih sebagai pengeluar tenaga solar CGPP

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Ogos - Konsortium diterajui JAKS Resources Berhad telah dipilih sebagai pengeluar tenaga solar oleh Suruhanjaya Tenaga di bawah Program Kuasa Hijau Korporat (CGPP). 

 

Konsortium tersebut terdiri daripada anak syarikatnya, JAKS Solar Power Sdn. Bhd., bersama Ann Joo Green Energy Sdn. Bhd. and Fabulous Sunview Sdn. Bhd.

 

Dalam satu kenyataan media hari ini, JAKS Resources berkata mereka merupakan satu daripada 22 pemohon CGPP yang dipilih suruhanjaya tersebut sebagai pengeluar tenaga solar dengan kapasiti 29.99MW.

 

Seperti yang diumumkan oleh Suruhanjaya Tenaga pada 7 Ogos 2023, hanya 22 daripada 71 pemohon setakat ini telah berjaya dipilih sebagai pengeluar tenaga solar di bawah CGPP dan 236.58MW daripada jumlah peruntukan 800MW masih perlu tersedia.

 

Ketua Pegawai Eksekutif JAKS, Andy Ang Lam Poah berkata, pihaknya sangat gembira kerana dilantik sebagai salah satu pengeluar tenaga solar bersama rakan-rakan konsortium.

 

"Kami optimis dengan kejayaan dan pelaksanaan projek itu memandangkan pengalaman dan keupayaan sinergi yang boleh diberikan oleh konsortium ini.

 

"Projek yang dianugerahkan itu sejajar dengan matlamat jangka panjang kami dalam mengembangkan portfolio tenaga boleh diperbaharui kami sambil menyumbang secara positif kepada pertumbuhan perniagaan dalam masa terdekat," katanya. - DagangNews.com