Kucingko sasar gandakan jumlah pakar, bakat selari keyakinan prospek pertumbuhan | DagangNews Skip to main content

Kucingko sasar gandakan jumlah pakar, bakat selari keyakinan prospek pertumbuhan

Penyedia perkhidmatan animasi 2D, Kucingko Berhad
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 26 Julai - Kucingko Berhad yang melakukan penampilang ulung di Pasaran ACE Bursa Malaysia hari ini bakal meningkatkan kapasiti sumber manusianya kepada lebih 500 orang iaitu pertambahan hampir sekali ganda yang menggambarkan kemampuan pertumbuhan syarikat itu.

 

Pengarah Eksekutif Kucingko, See Chin Joo berkata, perkembangan kapasiti kakitangan ini merupakan satu petunjuk kepada prospek pertumbuhan dan sejauh mana syarikat ini mampu berkembang pada masa depan selepas penyenaraian ini.

 

"Kami mahu berkembang dengan pelaksanaan rancangan bermula sekarangan dengan kapasiti semasa 266 orang dan kami merancang meningkatkan jumlah kakitangan sehingga 510 orang.

 

"Ini boleh beri pertunjuk sejauh mana syarikat ini mampu berkembang dan dengan ini juga saya rasa lebih baik dari memberi jangkaan (pertumbuhan)," katanya pada sidang media secara dalam talian selepas penampilan sulung di Bursa Malaysia hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Saham Kucingko dibuka 168% lebih tinggi pada 80.5 sen pada penampilan sulung di Pasaran ACE

 

 

kucingko

 

Menurutnya, pertambahan ini termasuk mendapatkan bakat-bakat di Sabah dan Sarawak yang cukup berpotensi dalam animasi dan kreatif.

 

Kata beliau, ini mungkin dilakukan dengan jalinan kerjasama dengan agensi kerajaan Sarawak dan Sabah dalam mendapatkan kumpulan bakat yang dimahukan.

 

"Saya tidak boleh mendedahkan dari segi projek seterusnya. Bagi pasaran, permintaan luar negara sangat penting. Amerika Syarikat (AS), Perancis dan sebagainya," jelasnya.

 

Kucingko membuat penampilan di Pasaran ACE hari ini dengan saham dibuka pada RM0.805 sesaham, mempamerkan premium 168.33% yang ketara berbanding harga IPO 30 sen sesaham.

 

Chin Joo berkata, penyenaraian yang berjaya ini merupakan satu kejayaan besar bagi Kucingko dan mencerminkan keyakinan pasaran dalam industri animasi dan penerimaan pelabur terhadap Kucingko. 

 

"Kami teruja dengan peluang yang akan dibawa yang membolehkan kami mengembangkan lagi kapasiti pengeluaran kami dan menjangkau lebih ramai pelanggan global. 

 

"Dana yang diperoleh membolehkan kami melabur dalam membina kapasiti secara tempatan dan memperdalam kehadiran kami dalam pasaran Amerika Utara, memastikan kami kekal di barisan hadapan dalam industri animasi,” jelasnya.
 

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Kucingko, Ooi Kok Hong berkata, pembinaan bakat dan pelaburan berterusan dalam bakat terbaik adalah keutamaan Kucingko. 

 

"Tidak lama lagi kami akan melancarkan rancangan untuk bekerjasama dengan universiti dan agensi kerajaan negeri untuk memupuk bakat tempatan dan memperkasakan mereka dengan set kemahiran yang betul untuk menyumbang secara positif kembali kepada industri. 

 

"Kami sedang membina semua inisiatif ini untuk pertumbuhan dan kejayaan yang mampan dalam pasaran animasi global,” ujarnya.

 

IPO Kucingko berjaya mengumpul RM30 juta dengan RM17.8 juta digunakan bagi pengembangan kapasiti termasuk penubuhan pejabat cawangan di Malaysia Timur untuk memanfaatkan tenaga mahir tempatan dan menaik taraf pejabat operasi sedia ada di Selangor.

 

Sebanyak RM4.4 juta digunakan untuk menubuhkan pejabat jualan di Amerika Syarikat untuk meluaskan jangkauan pasaran.

 

Kenanga Investment Bank Berhad ialah Penasihat Utama, Penaja, Penaja Jamin dan Ejen Penempatan untuk Kucingko Berhad.- DagangNews.com