Lanjutan PKPB lemahkan pemulihan pasaran buruh - MIDF | DagangNews Skip to main content

Lanjutan PKPB lemahkan pemulihan pasaran buruh - MIDF

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 9 Nov. - Penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga Disember 2020 dijangka mendorong pemulihan pasaran buruh yang lebih perlahan. 

MIDF Research menjangkakan kadar pengangguran bagi tahun ini akan berada pada sekitar 4.3% daripada 3.3% pada 2019. 

“Pemulihan ekonomi yang berterusan memandangkan perniagaan dibuka dan beroperasi semula selepas sekatan dilonggarkan ketika PKP Pemulihan (PKPP), akan mendorong penambahbaikan dalam pasaran buruh. 

“Bagaimanapun, pemulihan yang tidak menentu telah menyebabkan pembuangan pekerja baru-baru ini terutamanya dalam industri penerbangan dan pelancongan sekali gus mencetuskan cabaran akibat jualan yang lemah susulan kekurangan kehadiran pelancong asing dan perbelanjaan,” kata MIDF dalam nota kajiannya hari ini. 

Kadar pengangguran September 2020 mencatatkan penurunan kepada 4.6% membabitkan 737,500 penganggur, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam kenyataan hari ini.

Baca : Kadar pengangguran September menurun 4.6%

Bagaimanapun, kadar pengangguran, bagi tahun ke tahun, pada September meningkat 1.3% berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya dengan bilangan penganggur mencatatkan peningkatan 216,100.

Jelas MIDF, walaupun kadar pengangguran menunjukkan penurunan, namun jumlah itu tetap tinggi berbanding tempoh sebelum pandemik ekoran firma-firma tidak dapat beroperasi dengan kapasiti penuh. 

“Ini menunjukkan kebimbangan terhadap pemulihan pasaran buruh yang kian lemah, memandangkan lebih ramai rakyat hilang semangat untuk mencari pekerjaan. 

“Pelaksanaan semula sekatan disebabkan peningkatan kes COVID-19 di Malaysia dan luar negara, kami menjangkakan pasaran buruh pada bulan-bulan akan datang lebih lemah daripada jangkaan,” tambah MIDF. - DagangNews.com