Lawatan PM ke Jepun langkah tepat eratkan hubungan KL-Tokyo ke tahap kerjasama komprehensif - Penganalisis | DagangNews Skip to main content

Lawatan PM ke Jepun langkah tepat eratkan hubungan KL-Tokyo ke tahap kerjasama komprehensif - Penganalisis

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersalaman dengan Fumio Kishida semasa pertemuan rasmi di Tokyo pada 27 Mei 2022. - Gambar Bernama
Oleh TENGKU NOOR SHAMSIAH TENGKU ABDULLAH

KUALA LUMPUR 30 Mei – Lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub ke Jepun merupakan satu langkah yang tepat dan wajar demi memperkukuhkan hubungan dua hala antara Kuala Lumpur dan Tokyo ke tahap kerjasama komprehensif, kata Felo Kanan, Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, Dr Oh Ei Sun.

 

Menurutnya, ikrar perdana menteri untuk meneruskan dan memperkasakan  Dasar Pandang ke Timur (DPT)  juga merupakan tindakan yang amat baik.

 

Katanya, Malaysia dan Jepun berjaya mengekalkan hubungan diplomatik yang baik sejak 65 tahun yang lalu, sementara Dasar Pandang Ke Timur telah berlangsung selama 40 tahun..

 

“Saya fikir adalah satu langkah yang tepat untuk Perdana Menteri melawat Jepun untuk menekankan hubungan yang lama dan mendalam antara kedua-dua negara.“

 

“Perdana Menteri juga dilihat amat realistik dalam ucapannya (pada Persidangan Antarabangsa), yang menekankan keperluan untuk kerjasama global dan bukannya konfrontasi untuk menangani beberapa cabaran global mulai daripada pandemik dan perubahan iklim kepada kekurangan makanan dan gangguan rantaian bekalan,” kata Dr Oh kepada Dagangnews.com hari ini.

 

Beliau mengulas mengenai lawatan kerja sulung Ismail Sabri ke Jepun bermula 23 hingga 28 Mei.

 

Ini merupakan lawatan paling berprofil tinggi Ismail Sabri ke Jepun selepas dilantik sebagai Perdana Menteri pada 21 Ogos tahun lalu.

 

 

Dr Oh Ei Sun
                          Dr Oh Ei Sun

 

 

Selain mengadakan pertemuan bilateral dengan Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida, Ismail Sabri turut mengambil bahagian dalam Persidangan Antarabangsa ke-27 Mengenai Masa Depan Asia anjuran Nikkei.

 

Persidangan itu merupakan perhimpunan tahunan pemimpin politik, ekonomi dan industri dari rantau Asia Pasifik.

 

Dalam ucaptamanya di persidangan antarabangsa Nikkei itu, Ismail Sabri mengusulkan  tiga perkara utama untuk membolehkan Asia memainkan peranan dalam menerajui dunia yang berbelah pendirian.

 

Antara saranan beliau ialah memperkasakan integrasi ekonomi serantau, mengukuhkan kerjasama dan mekanisme Perundingan serta Bermuafakat dalam menangani cabaran perubahan iklim.

 

Semasa di Tokyo, perdana menteri juga bertemu tokoh perniagaan dan korporat di Jepun bagi menarik pelaburan ke Malaysia.

 

Menurut Oh, lawatan perdana menteri ke negara Matahari Terbit itu juga menggembirakan apabila beliau bukan sahaja menghadiri persidangan Nikkei bersama bekas PM Tun Dr Mahathir, tetapi juga berikrar untuk meneruskan DPT Dr Mahathir yang telah menggariskan proses perindustrian negara secara besar-besaran.

 

“Diharapkan Malaysia dan rakyatnya dapat terus mencontohi cara orang Jepun yang teliti, seperti yang digesa oleh PM dalam lawatan perbandaran semasa berada di Jepun,” tambah beliau.

 

 

PM

 

 

Pertemuan antara Ismail dan Kishida adalah yang pertama semenjak kedua-duanya menjawat jawatan Perdana Menteri.

 

Pertemuan turut disertai delegasi Malaysia yang lain termasuk menteri-menteri kabinet.



Kishida dalam ucapannya dilaporkan mengalu-alukan kerjasama Malaysia terutama dalam menjayakan bidang-bidang dalam kerjasama Free Open Indo Pacific (FOIP).

 

Sebagai bukti kejayaan lawatan Ismail Sabri ke Jepun,  Oh berkata kerajaan Malaysia dan Jepun memuktamadkan tiga memorandum kerjasama (MOC)  dalam tiga sektor utama disaksikan sendiri kedua-dua Perdana Menteri susulan pertemuan empat mata.

 

MOC melibatkan Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri Mengenai Industri Pesawat, diterajui Kementerian Perdagangan dan Antarabangsa, Kerjasama Rangka Kerja Asas bagi Maklumat Pengoperasian Sistem Sumber Manusia Asing Berstatus Pekerja Mahir diterajui Kementerian Sumber Manusia dan kerjasama Kementerian Pendidikan, Budaya, Sains dan Teknologi mengenai golongan belia yang diterajui Kementerian Belia dan Sukan. DagangNews.com