Sama ada kerajaan mampu meneruskan pembukaan semula ekonomi akan bergantung kepada kapasiti penjagaan kesihatan. - Gambar hiasan oleh Ishan
Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 15 Sept. - Melihatkan purata kadar jangkitan COVID-19 harian melebihi 20,000 kes, firma penyelidikan Macquarie Equities Research (MQ Research) melihat ini bukan waktu sesuai untuk membuka semula ekonomi.
Firma itu menjangkakan kes jangkitan mungkin akan meningkat semula pada tempoh beberapa bulan akan datang, tetapi sama ada kerajaan mampu meneruskan pembukaan semula ekonomi akan bergantung kepada kapasiti penjagaan kesihatan.
“Kerajaan bergantung kepada kadar vaksinasi yang tinggi untuk menampung sistem penjagaan kesihatan.
“Buat masa ini, terdapat kira-kira 19% baki kapasiti unit rawatan rapi (ICU) di seluruh negara, walaupun perlu diperhatikan bahawa ia tidak sekata di seluruh negeri,” jelas firma itu dalam satu nota penyelidikan.
Bagaimanapun, firma itu menjangkakan pasaran terutamanya bagi sektor perbankan, pengguna dan hartanah kekal positif susulan daripada pembukaan lebih banyak ekonomi.
Baru-baru ini, kawasan Lembah Klang mula beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) di mana melibatkan kelonggaran untuk merentas daerah buat individu yang lengkap dos vaksin.
MQ Research optimis terhadap keseluruhan perkembangan tersebut, namun mengunjurkan peralihan itu tidak akan mendatangkan sebarang implikasi positif ke atas sektor pembuatan.
“Pembukaan semula ekonomi yang telah lama tertangguh untuk menunggu vaksinasi dan kini memberikan kelegaan kepada perniagaan.
“Kualiti aset bank juga dijangka positif terutamanya melibatkan buku perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Walaupun hotel atau aktiviti pelancongan dibenarkan beroperasi, namun sekatan rentas negeri masih dikuatkuasakan. Tinjauan sepintas lalu MQ Research terhadap hotel menunjukkan sebahagian besar kapasiti yang tertutup belum dibuka lagi,” tambah firma itu lanjut.
Tambah MQ Research, plihan saham utama bagi pembukaan ekonomi tersebut termasuk RHB Bank Berhad, Telekom Malaysia Berhad dan Petronas Chemicals Group Berhad. - DagangNews.com