Lebihan bekalan sarung tangan global, Malacca Securities jangka prospek Hartalega terus mencabar | DagangNews Skip to main content

Lebihan bekalan sarung tangan global, Malacca Securities jangka prospek Hartalega terus mencabar

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 Ogos - Hartalega Holdings Berhad terus berdepan prospek mencabar kesan lebihan bekalan sarung tangan global berikutan kemasukan kapasiti daripada pendatang baharu dalam industri dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

 

Malacca Securities menjangkakan lebihan bekalan itu akan berterusan sehingga 2024 dengan rasionalisasi kapasiti sedang dimulakan.

 

"Kami mendapati bahawa industri sarung tangan sedang menjalani fasa rasionalisasi kapasiti dengan pengembangan yang dirancang dihentikan atau ditangguhkan sehingga keadaan berubah menjadi baik.

 

"Pada masa yang sama, sebahagian daripada kapasiti daripada peserta baharu (terutamanya pemain yang lebih kecil) juga semakin berkurangan, memandangkan ketiadaan skala ekonomi dalam operasi mereka," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu sedang memulakan pendekatan strategik lima tahun bagi mempekemaskan oeprasi mereka termasuk meningkatkan kecekapan pengeluaran termasuk penutupan kilang Bestari Jaya.

 

Katanya, mereka juga mengguna pakai proses automasi secara berterusan seperti sistem kompaun automatik, mesin pembungkusan automatik (APM) serta sistem pembuatan digital (DMS) selain mengoptimumkan penggunaan tenaga menerusi pelaksanaan sistem pembakaran termasju.

 

"Mereka juga menjalankan penyelidikan dan pembangunan & inovasi sistem ekologi seperti bank idea," katanya.

 

Malacca Securities menghentikan liputan terhadap kumpulan itu disebabkan pengagihan semula sumber dalaman dan mengekalkan penarafan 'pegang' dengan harga wajar RM2.05 sesaham. - DagangNews.com