Lebihan bekalan sarung tangan, Kenanga Research unjur Supermax terus berdepan prospek mencabar | DagangNews Skip to main content

Lebihan bekalan sarung tangan, Kenanga Research unjur Supermax terus berdepan prospek mencabar

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Ogos - Kenanga Research mengunjurkan prospek Supermax Corporation Berhad kekal mencabar bagi suku tahun akan datang kesan daripada lebihan bekalan sarung tangan yang besar dalam pasaran.

 

Firma penyelidikan menjangkakan situasi lebihan bekalan itu akan mereda secara beransur-ansur selepas kebanyakan pengeluar mengurangkan kapasiti pengeluaran menerusi penutupan kilang-kilang terpilih.

 

Katanya, situasi permintaan-bekalan hanya akan mula menuju ke arah keseimbangan pada 2025 apabila hampir tiada lagi kilang baharu sementara permintaan global untuk sarung tangan terus meningkat sebanyak 15% setahun disokong oleh peningkatan kesedaran kebersihan.

 

"Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) mengunjurkan pertumbuhan 12% hingga 15% dalam permintaan global untuk sarung tangan getah setiap tahun dari 2023, berikutan anggaran penguncupan 19% kepada 399 bilion keping pada 2022.

 

"Mereka percaya keseimbangan bekalan-permintaan mungkin kembali dalam enam hingga sembilan bulan. 

 

"Bagaimanapun, kami menjangkakan lebihan kapasiti akan berterusan sekurang-kurangnya dalam tempoh 12 bulan akan datang," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM149.45 juta untuk tahun kewangan berakhir 30 Jun 2023 (FY23) berbanding untung bersih sebanyak RM718.91 juta pada tahun lalu kerana pendapatan diimbangi jualan yang lebih rendah dan harga jualan purata (ASP) untuk sarung tangan.

 

Dengan kerugian tahunan terkini sebanyak RM149.45 juta, ia mencatatkan kerugian terkumpul sesaham sebanyak 5.67 sen, berbanding pendapatan terkumpul sesaham sebanyak 27.26 sen pada FY22 sebelumnya.

 

Hasil tahunan ialah RM821.86 juta, turun 69.42% daripada RM2.69 bilion sebelumnya.

 

Firma penyelidikan itu mengunjurkan bahawa permintaan untuk sarung tangan meningkat sebanyak 15% pada 2023, yang selaras dengan ramalan MARGMA. 

 

Dari segi penawaran, pihaknya telah mengambil kira pengurangan 24 bilion keping (pengurangan sebelumnya ialah 21 bilion keping) sarung tangan dalam sistem menjelang akhir FY23.

 

Kenanga Research mengekalkan saranan 'market perform' dengan harga sasaran (TP) 80 sen sesaham.- DagangNews.com