Lonjakan jualan telefon pintar 5G pacu keuntungan semikonduktor | DagangNews Skip to main content

Lonjakan jualan telefon pintar 5G pacu keuntungan semikonduktor

5G

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 25 Jan. - Sektor semikonduktor Malaysia dijangka meraih keuntungan tinggi hasil peningkatan jumlah jualan telefon pintar 5G pada 2021.

 

CGS-CIMB Research berkata, jangkaan itu dibuat susulan peningkatan permintaan cip frekusensi radio (RF) yang lebih kukuh.

 

"TrendForce menganggarkan pengeluaran telefon pintar 5G global meningkat daripada 240 juta pada 2020 hingga 500 juta unit pada 2021.

 

"Telefon pintar 5G rata-ratanya memerlukan kepada kandungan RF yang bernilai AS$25 atau kira-kira 40% lebih tinggi berbanding telefon pintar 4G pada harga AS$18.

 

"Syarikat Inari Amertron Berhad (Inari) dan MPI Corporation (MPI) adalah penerima faedah utama dalam peningkatan permintaan cip RF dalam telefon pintar 5G susulan kepakaran mereka dalam proses pemasangan, pembungkusan dan pengujian cip RF," jelas CGS-CIMB Research.

 

Menurut IHS Markit, pendapatan sektor semikonduktor automotif global akan meningkat sebanyak 18% tahun ke tahun pada 2021.

 

Jangkaan itu didorong oleh peningkatan nilai kandungan semikonduktor pada setiap kereta di samping pengukuhan jualan kenderaan elektrik (EV) dan pemulihan permintaan automotif global.

 

Infineon menganggarkan model EV memerlukan nilai kandungan semikonduktor sebanyak 82% lebih tinggi berbanding model ICE.

 

Peningkatan kandungan yang ketara itu disebabkan oleh kandungan semikonduktor kuasa yang lebih tinggi bagi pengendalian komponen seperti motor inverters dan DCDC converters.

 

Dalam nota kajian yang sama, CGS-CIMB Research memberitahu, Statistik Perdagangan Semikonduktor Dunia (WSTS) meletakkan ramalan pertumbuhan jualan industri semikonduktor sebanyak 8.4% bagi tahun 2021.

 

Ramalan itu didorong oleh prestasi permintaan yang lebih tinggi daripada keempat-empat pasaran iaitu Asia Pasifik, Amerika, Jepun dan Eropah.

 

"Kami mengunjurkan pertumbuhan keuntungan bersih sektor sebanyak 39% pada 2021 dengan tahap penggunaan yang lebih tinggi.

 

"Kami meningkatkan saranan 'neutral' bagi sektor semikonduktor kepada  'overweight'," ujar CGS-CIMB Research. - DagangNews.com