Mah Sing catat peningkatan hasil sebanyak 35% kepada RM1.65 bilion bagi 9MFY22 | DagangNews Skip to main content

Mah Sing catat peningkatan hasil sebanyak 35% kepada RM1.65 bilion bagi 9MFY22

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Nov - Hasil Mah Sing Group Berhad meningkat sebanyak 35% kepada RM1.65 bilion menjadikan kumpulan itu merekodkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM196.2 juta untuk tempoh 9MFY22 berbanding hasil sebanyak RM1.22 bilion dan PBT RM166.4 juta pada tahun sebelumnya.

 

Kumpulan itu dalam satu kenyataan berkata, sehingga 30 September 2022 bahagian pembangunan hartanah merekodkan keuntungan operasi sebanyak RM247.5 juta disokong oleh hasil sebanyak RM1.3 bilion masing-masing 30.8% and 41.3% lebih tinggi berbanding tahun lalu.

 

Kumpulan merekodkan jualan hartanah baharu yang lebih tinggi sebanyak RM1.69 bilion bagi 9MFY22, lonjakan sebanyak 32% berbanding RM1.28 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas.

 

Hasil dan keuntungan operasi yang lebih tinggi didorong oleh jualan hartanah yang lebih tinggi dan pengiktirafan hasil projek hartanah dalam pembinaan.

 

Projek pembangunan yang menjadi penyumbang utama pendapatan kumpulan termasuk M Vertica di Cheras, M Arisa di Setapak, M Luna di Kepong, M Aruna di Rawang, Meridin Timur di Johor, M Oscar di Sri Petaling, M Adora di Wangsa Melawati dan Southville City di Kuala Lumpur.

 

Projek lain yang turut menyumbang termasuk D'sara Sentral di Sungai Buloh, Southbay City dan Ferringhi Residence di Pulau Pinang, Sierra Perdana, Meridin @ Medini dan Mah Sing i-Parc di Johor.

 

Segmen pembuatan mencatatkan hasil sebanyak RM326 juta dalam tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2022 berbanding hasil sebanyak RM268.1 juta pada tempoh yang sama tahun sebelumnya. 

 

Hasil meningkat terutamanya disumbangkan oleh permintaan kukuh berterusan untuk palet plastik dan alat ganti automotif.

 

Pengasas dan Pengarah Urusan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum berkata, prestasi jualan yang baik dalam jualan hartanah baharu adalah disebabkan pelancaran baharu dan projek berterusan di bawah pembangunan mampu milik Siri M.

 

Katanya, tumpuan strategik pada pembangunan mampu milik Siri M dalam beberapa tahun kebelakangan ini telah meletakkan kumpulan untuk menguasai pasaran pembeli rumah pertama yang berdaya tahan.

 

"Kami merancang untuk melancarkan M Astra di Setapak (kediaman bertingkat berharga daripada RM399,000) menjelang 4QFY22.

 

"Pembangunan lain yang akan dilancarkan ialah M Nova di Kepong (kediaman bertingkat berharga daripada RM318,000), Fasa 3 M Senyum di Salak Tinggi, Fasa 1B M Panora di Rawang, dan Meridin East (Jasmine dan Erica West) di Johor Bahru," katanya. - DagangNews.com