Mahadhir Aziz letak jawatan CEO Futurise berkuatkuasa 31 Ogos ini | DagangNews Skip to main content

Mahadhir Aziz letak jawatan CEO Futurise berkuatkuasa 31 Ogos ini

Mahadhir Aziz
Mahadhir Aziz 

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 24 Ogos - Futurise mengumumkan peletakan jawatan Mahadhir Aziz sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) berkuatkuasa pada 31 Ogos 2021 untuk menerajui sebuah agensi kerajaan yang lain. 

 

Mahadhir dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif sejak penubuhan Futurise pada 2018 yang merupakan  anak syarikat milik penuh Cyberview Sdn. Bhd., di bawah Kementerian Kewangan.

 

Pengarah Urusan Cyberview, Najib Ibrahim yang juga ahli Lembaga Pengarah Futurise berkata, meskipun sedih namun pihaknya juga berterima kasih atas usaha Mahadhir yang gigih dalam memula dan mengembangkan Futurise sejak dari awal penubuhannya.

 

"Mahadhir telah menjadi perancang, pengurus dan pelaksana beberapa projek utama bersama kami dengan inisiatif dan program terkenal yang memberi kesan besar kepada ekosistem industri.

 

"Beliau memainkan peranan penting dalam pengembangan Futurise dan kejayaan organisasi. 

 

"Kami mendoakan yang terbaik untuknya dan yakin beliau akan cemerlang dalam karier baharu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Futurise berperanan aktif sebagai Penasihat Dasar Awam Kementerian dan industri dalam membentuk dan menyediakan Malaysia untuk memasuki era ekonomi masa hadapan.

 

Agensi itu akan terus mencipta pelbagai inisiatif penting dalam mewujudkan masa depan yang lebih baik dalam mewujudkan peluang ekonomi, menyokong pertumbuhan inovasi, menambahbaik peraturan berkaitan isu perkongsian data dan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing dengan memastikan penciptaan pekerjaan melalui inisiatif Makmal Kawal Selia Sandbox Negara.

 

Di bawah kepemimpinan Mahadhir, Futurise telah berjaya menerajui inisiatif Kawal Selia Sandbox Negara yang membawa kepada beberapa kejayaan utama. 

 

Antara sumbangan pentingnya termasuk ujian pertama untuk Ujian Kenderaan Autonomi di Cyberjaya (MyAV), Zon Ujian Dron pertama di Malaysia (DTZ) serta mewujudkan lebih daripada 32,250 peluang pekerjaan melalui pelbagai program dan inisiatif.

 

Mahadhir juga telah mempengerusikan pelbagai jawatankuasa strategik dengan memberi fokus kepada pembangunan dan peraturan berkaitan Teknologi Masa Depan Malaysia, termasuk Panel Penasihat Kawal Selia Sandbox Negara (NRS).

 

Selain itu, beliau juga memainkan peranan besar dalam pembangunan Blueprint Pusat Teknologi Global Cyberjaya dan pelaksanaannya.

 

Ketua Ekosistem Inovasi Futurise, Tengku Azrul Tengku Azhar akan bertindak sebagai wakil perhubungan, dengan anggota EXCO mengetuai organisasi tersebut secara sementara sebagai sokongan peralihan untuk Futurise sehingga pelantikan Ketua Eksekutif baharu. - DagangNews.com