MAHB tawar pakej bantuan baharu kepada peruncit | DagangNews Skip to main content

MAHB tawar pakej bantuan baharu kepada peruncit

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 8 Dis. - Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) menawarkan pakej bantuan baharu kepada semua peruncit di lapangan terbang miliknya dengan rebat sewaan sehingga 30% bermula Januari 2021.

 

Pakej bantuan itu juga menawarkan rebat sewa 100% bermula Julai hingga Disember 2020.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB, Datuk Mohd. Shukrie Mohd. Salleh berkata, pakej bantuan terbaharu itu diberikan berikutan rayuan penyewa menghadapi masalah aliran tunai terutama selepas perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) dilaksanakan semula di kebanyakan negeri.

 

Katanya, MAHB komited untuk memastikan komuniti lapangan terbang mampu bertahan dalam menghadapi krisis ini.

 

“Melalui panduan prinsip ini, kami mengambil langkah untuk meningkatkan rebat sewa walaupun kami sendiri terkesan untuk 3 suku terakhir yang mana tindakan ini turut mengurangkan rizab tunai kami.

 

“Seperti lapangan terbang lain di dunia, kami berharap kerajaan dapat melanjutkan bantuan yang diperlukan agar kami boleh terus menyokong komuniti perniagaan lapangan terbang lain," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Melalui pakej itu, rakan syarikat penerbangan turut menikmati rebat sehingga 30% bagi caj penerbangan seperti pendaratan, ruang letak pesawat, jambatan udara dan caj kaunter daftar masuk tetapi bukan Caj Perkhidmatan Penumpang.

 

Mulai 2021 dan seterusnya, peruncit sedia ada hanya dikenakan sewa berdasarkan kadar pertumbuhan penumpang sebenar di lapangan terbang.

 

"Sebagai contoh, jika trafik penumpang adalah 20%, mereka hanya perlu membayar 20% daripada sewa penuh," katanya.

 

Pakej bantuan terbaharu ini akan menggantikan pakej yang diumumkan September lalu, yang mana penyewa diberi rebat sehingga 50% bagi tempoh 6 bulan pada 2020. 

 

Ini berdasarkan kepada 6 bulan moratoriaum ke atas sewa yang dilaksanakan mulai Mei hingga Oktober. 

 

Di bawah Model Sewaan Baharu yang terpakai di bawah program penetapan semula komersial, membolehkan penyewa menikmati pengurangan sewa sehingga 30% daripada kadar sedia ada dengan tambahan manfaat bagi menangani jurang trafik yang rendah daripada 70% dengan lanjutan tempoh kontrak. - DagangNews.com