Mahkamah Perusahaan KL putuskan pemecatan HSBC tidak sah, perintah kembalikan dua ahli NUBE ke jawatan asal | DagangNews Skip to main content

Mahkamah Perusahaan KL putuskan pemecatan HSBC tidak sah, perintah kembalikan dua ahli NUBE ke jawatan asal

Tunjuk perasaan anjuran NUBE ke atas HSBC Bank pada tahun 2019. - Gambar fail

MAHKAMAH Perusahaan Kuala Lumpur memutuskan dua ahli Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE), yang dipecat oleh HSBC Bank Malaysia Berhad (HSBC) kerana mengambil bahagian dalam aktiviti kesatuan sekerja, empat tahun lalu, sebagai tindakan tidak sah.

 

Mahkamah memerintahkan supaya kedua-dua ahli NUBE itu dikembalikan ke jawatan asal di Bank dalam tempoh 30 hari dari tarikh keputusan diberikan.

 

Dalam keputusan pada 2 Februari 2023, Pengerusi Mahkamah Perusahaan Kuala Lumpur, Rajeswari Karupiah telah membenarkan tuntutan kedua-dua pekerja HSBC Bank, Sarimah Awang Senik dan Sethupaty Thiaganajan atas alasan bahawa kenyataan meremehkan yang didakwa dibuat oleh kedua-dua mereka itu, yang membawa kepada pemecatan oleh HSBC Bank, dibuat sebahagian daripada pertikaian perusahaan dianjurkan oleh NUBE.

 

Mahkamah Perusahaan juga memutuskan bahawa Seksyen 22(1) Akta Kesatuan Sekerja 1959 (di mana peruntukan imuniti termaktub ke atas kesatuan sekerja berhubung dengan tindakan tort terhadap mereka), tidak meletakkan sebarang pengecualian atau had mengenai perkataan yang mungkin dipilih oleh Kesatuan atau ahli Kesatuan atau bahawa perkataan ini perlu mematuhi piawaian kewajaran tertentu agar berada dalam lingkungan perlindungan Seksyen 22(1) Akta Kesatuan Sekerja 1959.

 

Mahkamah mendapati bahawa pemecatan Sarimah dan Sethupaty adalah tidak wajar dan mereka telah dipecat secara tidak sah oleh HSBC kerana menyertai aktiviti Kesatuan Sekerja.

 

Mahkamah seterusnya menyatakan bahawa “dengan mengambil kira keseluruhan keterangan yang dikemukakan oleh kedua-dua ahli itu dan mengambil kira Seksyen 30(5) Akta Perhubungan Perusahaan 1967 untuk bertindak dengan adil, hati nurani yang baik dan merit yang cukup besar kes ini tanpa mengambil kira kepada teknikal dan bentuk undang-undang, mahkamah mendapati bahawa pemecatan pihak yang menuntut adalah tanpa sebab atau alasan yang adil, dan atas merit besar kes, pihak yang menuntut berhak untuk berjaya dalam tuntutannya dalam soal pemecatan yang tidak adil.”

 

Selepas mempertimbangkan dengan teliti kertas kuasa dan perbicaraan, Mahkamah Perusahaan telah memberi keputusan yang memihak kepada Sarimah dan Sethupaty dan telah memerintahkan supaya mereka dikembalikan semula ke jawatan asal mereka atau yang setara di HSBC Bank tanpa kehilangan kekananan, perkhidmatan, bonus dan faedah lain, monetari atau selainnya termasuk pelarasan gaji dan kenaikan yang mereka akan peroleh sekiranya tidak dipecat oleh Bank.

 

Kedua-dua Sethupaty dan Sarimah telah memfailkan tuntutan mereka berhubung pemecatan yang tidak adil pada tahun 2019 dan akhirnya menerima award mereka pada 2 Februari 2023.

 

Mereka berhujah bahawa mereka hanya menjalankan tugas dan fungsi kesatuan sekerja apabila mereka dipecat akibat daripada tindakan menjalankan aktiviti.

 

Mereka telah berpegang kepada Seksyen 22(1) Akta Kesatuan Sekerja 1959 yang jelas memberikan kekebalan kepada kesatuan sekerja dan ahlinya, terhadap sebarang tindakan yang dibuat dalam bidang tort, bagi tuntutan mereka di Mahkamah Perusahaan.

 

Mereka telah dipecat oleh HSBC Bank kerana mengambil bahagian dalam aktiviti kesatuan sekerja yang sah, menurut pertikaian perdagangan yang diisytiharkan terhadap HSBC Bank pada tahun 2019. Sarimah dan Sethupaty masing-masing telah berkhidmat di HSBC sejak 1997 dan 1996.

 

Sethupaty, Kerani Am, manakala Sarimah pula Jurubank Perkhidmatan Pelanggan di HSBC Bank, dan juga ahli NUBE, telah memfailkan aduan Pemecatan Tidak Adil terhadap HSBC Bank.

 

Peguam Khaizan Shahrizad mewakili kedua-dua Sethupaty dan Sarimah manakala N. Sivabalah dan Bendict Ngoh mewakili pemohon.

 

 

 J Solomon
J Solomon

 

 

Sementara itu, NUBE menyambut baik keputusan Mahkamah Perusahaan yang mengarahkan pengembalian semula kedua-dua Sethupaty dan Sarimah ke jawatan asal.

 

Setiausaha Agung NUBE, J Solomon berkata, keputusan tersebit adalah sinar harapan bagi kesatuan sekerja dan ahli-ahli mereka yang hak asasi kesatuan sekerja dipijak secara terang-terangan.

 

“NUBE mengucapkan terima kasih kepada setiap ahli yang telah menyokong dan mengambil bahagian dalam tindakan perindustrian anjuran NUBE.

 

“NUBE berdiri teguh dalam ujian dan berani menentang ujian dengan kepercayaan dan keyakinan bahawa keadilan akan ditegakkan, dan ia telah berjaya,” kata beliau. – DagangNews.com