Mahkamah Rayuan batalkan rayuan penggulungan Serba Dinamik dan tiga anak syarikat | DagangNews Skip to main content

Mahkamah Rayuan batalkan rayuan penggulungan Serba Dinamik dan tiga anak syarikat

Oleh BERNAMA

PUTRAJAYA 25 Jun - Serba Dinamik Holdings Berhad dan tiga anak syarikatnya pada Selasa menarik balik rayuan mereka di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan petisyen difailkan oleh enam institusi kewangan untuk menggulung syarikat itu.

 

Panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Datuk P. Ravinthran kemudiannya membatalkan rayuan itu.

 

Hakim Ravinthran, yang bersidang bersama hakim Datuk Hashim Hamzah dan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, memerintahkan Serba Dinamik membayar kos keseluruhan RM200,000.

 

Terdahulu peguam Sandra Tan yang mewakili Serba Dinamik dan anak syarikatnya Serba Dinamik International Ltd, Serba Dinamik Sdn Bhd dan Serba Dinamik Group Bhd memaklumkan mahkamah menerima arahan daripada anak guamnya untuk menarik balik rayuan itu.

 

Pada 10 Jan tahun lepas, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur membenarkan petisyen penggulungan yang dibawa oleh Standard Chartered Saadiq Berhad, HSBC Amanah Malaysia Berhad, AmBank Islamic Berhad, MIDF Amanah Investment Bank Berhad, United Overseas Bank (Malaysia) Bhd dan Bank Islam Malaysia Berhad atas hutang hampir RM5 bilion.

 

HSBC Bank Malaysia dan Hong Leong Islamic Bank Bhd menyokong petisyen penggulungan itu.

 

Dalam prosiding pada hari ini, peguam Koo Yin Soon yang mewakili enam pembiaya bersindiket, peguam Niisha Lakshe untuk HSBC Amanah dan HSBC Bank, dan peguam Karen Tan untuk Hong Leong Islamic Bank meminta mahkamah memberi mereka kos berikutan penarikan balik rayuan.

 

Mereka berkata mereka telah bersedia untuk rayuan yang melibatkan dokumen yang banyak.

 

Niisha juga menyebut perkara ini bagi pihak pelikuidasi yang dilantik oleh mahkamah.

 

Pada 16 Mac tahun lepas, Mahkamah Tinggi menolak Serba Dinamik dan permohonan tiga syarikat untuk penangguhan tetap penggulungan sementara menunggu pendengaran rayuan mereka di Mahkamah Rayuan.

 

Awal bulan ini, dilaporkan Serba Dinamik telah dinyahsenarai oleh Bursa Malaysia daripada sahamnya selepas Bursa menolak rayuan terakhir syarikat itu. - DagangNews.com