KUALA LUMPUR 27 Ogos - Bermula September 2020, majikan akan didenda RM50,000 bagi setiap kesalahan sekiranya gagal mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).
Akta itu memperuntukkan majikan di semua sektor untuk menyediakan kemudahan penginapan dan perumahan kepada pekerja.
Penguatkuasaan akta berkenaan bertujuan memastikan setiap majikan mematuhi peruntukan undang-undang tersebut.
“Mulai Selasa depan, majikan perlu mematuhi Akta 446 membabitkan penyediaan perumahan yang sesuai serta kemudahan lain untuk pekerja.
“Kami akan sentiasa melakukan lawatan terhadap pemain industri untuk memastikan mereka mematuhi akta tersebut,” kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan kepada pemberita semasa melawat Menara Top Glove Corporation Berhad (Top Glove).
Akta itu dijangka dapat menangani isu keadaan tempat tinggal pekerja asing yang didakwa antara punca sekatan ke atas Top Glove.
Pihak majikan atau syarikat perlu membina sendiri penginapan atau boleh menggunakan perkhidmatan Penginapan Berpusat Pekerja (CLQ) yang disediakan oleh penyedia penginapan.
Penguatkuasaan akta tersebut akan dilaksanakan oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM).
Sebelum ini, Akta 446 hanya mencakupi aspek perumahan dan penginapan pekerja di sektor perladangan yang melebihi lapan hektar dan perlombongan sahaja.
Tetapi, Akta 446 dipinda pada 1 Jun 2020 yang memperluas penguatkuasaan undang-undang tersebut ke semua sektor pekerjaan.
Susulan itu, kerajaan telah memberi penangguhan kepada majikan selama tiga bulan untuk membuat persediaan sehingga sebelum Selasa depan. - DagangNews.com