Majlis Peguam isytihar tidak percaya terhadap Peguam Negara - tegur Azalina, SPRM | DagangNews Skip to main content

Majlis Peguam isytihar tidak percaya terhadap Peguam Negara - tegur Azalina, SPRM

KUALA LUMPUR 11 Mei - Badan Peguam Malaysia meluluskan usul tidak percaya terhadap Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, pada Mesyuarat Agung Luar Biasanya (EGM) Rabu, atas alasan gagal mempertahankan Badan Kehakiman serta menegakkan kedaulatan undang-undang.

 

Ia juga memberi mandat kepada Majlis Peguam untuk memberikan notis kepada Idrus untuk membawa prosiding menghina mahkamah terhadap pihak yang bertanggungjawab melakukan serangan terhadap Badan Kehakiman, dengan serta-merta.

 

"Jika gagal, Majlis Peguam akan menimbangkan dan, jika difikirkan sesuai, membawa prosiding menghina mahkamah atau mana-mana prosiding lain atau tindakan dalam mengesahkan resolusi ini," kata usul tersebut.


 

Tan Sri Idrus Harun
                             Tan Sri Idrus Harun

 


Usul itu diluluskan melalui Resolusi Kebebasan Badan Kehakiman dan Menegakkan Kedaulatan Undang-Undang, di mana Badan Peguam mengesahkan komitmennya untuk mempertahankan kebebasan Badan Kehakiman dan kedaulatan undang-undang tanpa rasa takut atau pilih kasih;

 

Melalui usul berkenaan yang boleh diakses melalui laman webnya, Badan Peguam mengisytiharkan tidak mempunyai keyakinan terhadap Idrus kerana kegagalannya mempertahankan Badan Kehakiman daripada serangan dan menegakkan kedaulatan undang-undang.

 

Ia memetik serangan terhadap Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, yang mendengar dan memutuskan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd yang dihadapi bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Tinggi.


 

Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali
                       Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali

 


Hakim itu menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib selepas mendapati beliau bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC, pada 28 Julai 2020.

 

Badan Peguam dalam resolusi itu menyatakan bahawa dakwaan konflik kepentingan terhadap Mohd Nazlan sudah diputuskan melalui dua panel berasingan Mahkamah Persekutuan tanpa penghakiman berbeza.

 

Badan Peguam juga mengutuk tindakan semua pihak yang merendah-rendahkan kebebasan Badan Kehakiman, menjejaskan pentadbiran keadilan dan melanggar kedaulatan undang-undang.

 

Ia selanjutnya menegur tindakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, yang menjejaskan kebebasan Badan Kehakiman.


 

Datuk Seri Azalina Othman Said
                     Datuk Seri Azalina Othman Said

 


Bulan lalu, media melaporkan Azalina mengesahkan Mohd Nazlan melanggar kod etika dan mempunyai konflik kepentingan menerusi surat bertarikh 20 Mac lalu kepada peguambela, Shafee & Co.

 

Azalina berkata, ia berdasarkan salinan laporan penemuan SPRM bertarikh 20 Februari lalu yang dipanjangkan oleh agensi itu kepadanya.

 

Dalam usul berkenaan juga, Badan Peguam kesal dengan tindakan SPRM dalam membuat laporan itu, masa dan cara ia dikeluarkan dan kesimpulan terkandung di dalamnya yang bukan dalam bidang kuasa agensi siasatan terbabit. - DagangNews.com