KUALA LUMPUR 6 Dis - Malacca Securities menjangkakan lanjutan tempoh konsesi baharu berkemungkinan akan lebih menguntungkan Suria Capital Holdings Berhad dengan tempoh pajakan dan struktur tarif yang lebih baik berbanding perjanjian konsesi semasa.
Firma itu berkata, semakan semula tarif pelabuhan perlu dilakukan selepas 35 tahun bagi membolehkan mereka terus bersaing dengan peningkatan kos operasi selama ini.
"Ini juga akan menjana perbelanjaan modal tambahan untuk menambah baik kemudahan pelabuhan bagi mengukuhkan kedudukan mereka sebagai Pelabuhan/Terminal Terbaik 2021 dan Pelabuhan/Terminal Terbaik - Asia Tenggara 2021," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Terdahulu, anak syarikat kumpulan itu, Sabah Ports Sdn. Bhd. (SPSB) telah menerima surat daripada Unit Perancang Ekonomi Negeri bertarikh 29 November 2022 bahawa Kabinet Negeri bersetuju memberikan lanjutan tempoh konsesi selama 30 tahun mulai 1 September 2034 hingga 31 Ogos 2064, tertakluk kepada terma dan syarat untuk dipersetujui bersama dengan Kerajaan Sabah.
SPSB dapat memulakan proses rundingan dengan Kerajaan Sabah mengenai terma dan syarat tempoh konsesi baharu.
Keputusan rundingan mengenai terma baharu itu akan dibentangkan untuk pertimbangan dan kelulusan Kabinet Negeri selewat-lewatnya pada 31 Disember 2023 atau setahun selepas rundingan dimulakan.
Firma itu berkata, tempoh konsesi semasa daripada Perjanjian Penswastaan Pelabuhan sejak 2004 akan tamat pada 2034.
"Kami tidak terkejut dengan pengumuman lanjutan konsesi kerana kumpulan itu telah berbincang dengan Kerajaan Sabah mengenai perkara tersebut.
"Sekiranya perkara itu menjadi kenyataan, ini juga akan memastikan hasil yang mampan dalam tempoh 40 tahun akan datang," katanya.
Firma itu, mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi RM1.16 sesaham.
Bagaimanapun, kumpulan itu berdepan beberapa risiko termasuk kebergantungan terhadap harga komoditi terutama minyak mentah dan minyak sawit mentah.
"Perniagaan operasi pelabuhan dikawal selia oleh Lembaga Pelabuhan Negeri dan Sabah yang memerlukan beberapa kelulusan, lesen, pendaftaran dan permit daripada pelbagai pihak berkuasa kawal selia," katanya. - DagangNews.com