Malacca Securities jangka Nova Wellness catat pertumbuhan lebih perlahan tahun ini akibat ketidakstabilan ekonomi global | DagangNews Skip to main content

Malacca Securities jangka Nova Wellness catat pertumbuhan lebih perlahan tahun ini akibat ketidakstabilan ekonomi global

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Ogos - Malacca Securities menjangkakan Nova Wellness Group Berhad mencatatkan pertumbuhan yang lebih perlahan pada tahun ini kesan daripada landskap mencabar pasca COVID-19 dan ekonomi global yang tidak stabil.

 

Firma penyelidikan itu berkata, bagaimanapun kumpulan itu tetap komited dalam mengembangkan portfolio produk dan kehadiran pasarannya selain berusaha meningkatkan kecekapan pengeluaran.

 

Selain itu, kumpulan itu juga sedang berusaha memperkenalkan program baharu untuk rakan kongsinya.

 

"Kami telah menyemak semula pendapatan bersih teras kumpulan kepada RM14.8 juta, RM16.6 juta dan RM17.8 juta masing-masing untuk FY23, FY24 dan FY25.

 

"Perolehan yang diramalkan mengambil kira pertumbuhan yang lebih perlahan daripada segmen jenama sendiri serta sumbangan yang lebih tinggi daripada segmen OEM," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pembinaan Fasa 2 kilang baharu kumpulan itu sedang dijalankan dan berfungsi sebagai pengembangan kepada pembuatan makanan tambahan dan produk penjagaan kulitnya.

 

Katanya, bagi produk penjagaan kulit, kumpulan itu akan memperkenalkan barisan produk baharu termasuk krim, balm dan syampu.

 

"Memandangkan ia melibatkan rangkaian produk dan jenama baharu, ia dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya dua hingga tiga tahun untuk mewujudkan kehadiran yang kukuh dalam pasaran," katanya.

 

Malacca Securities menyemak naik penarafan kumpulan kepada 'pegang' berbanding 'jual' dengan harga sasaran (TP) 73 sen sesaham. - DagangNews.com