KUALA LUMPUR 1 Sept - Maybank Investment Bank (Maybank IB) mengunjurkan Malakoff Corporation Berhad terus mencatatkan kerugian bagi tahun kewangan 2023 (FY23) sekiranya margin bahan api kekal negatif.
Firma penyelidikan itu berkata, peningkatan mendadak dalam margin bahan api Tanjung Bin Power Sdn Bhd (TBP) pada suku kedua (2QFY23) berpunca daripada pengumpulan invesntori arang batu yang digabungkan dengan kejatuhan harga.
Katanya, keputusan kewangan kumpulan bagi 2QFY23 adalah jauh di bawah jangkaan konsensus.
“Magnitud kerugian adalah ketara, dan kami tidak menolak kemungkinan Malakoff akan mengalami kerugian pada 2023.
“Namun begitu, kami mengekalkan panggilan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) tidak berubah sebanyak 55 sen sesaham," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Terdahulu, Malakoff mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM318.73 juta dalam suku kedua yang berakhir 30 Jun 2023, berbanding keuntungan bersih RM119.15 juta pada tempoh yang sama tahun lalu susulan impak daripada margin bahan api.
Keuntungan juga terjejas disebabkan oleh kos bahan api purata wajaran yang lebih tinggi, sumbangan yang lebih rendah daripada Loji Janakuasa GB3, kos insurans operasi yang lebih tinggi, dan bahagian keuntungan yang lebih rendah daripada syarikat sekutu dan syarikat usaha sama.
Pada suku itu, Malakoff merekodkan hasil tinggi sedikit sebanyak RM2.36 bilion daripada RM2.32 bilion, dengan prestasi stabil terutamanya oleh pembayaran tenaga tinggi dan pendapatan kapasiti yang direkodkan daripada TBE memandangkan harga arang batu sebenar (ACP) yang tinggi dan tempoh gangguan loji lebih singkat bersama dengan bayaran tenaga yang lebih tinggi direkodkan daripada Segari Energy Ventures Sdn Bhd (SEV).
Firma penyelidikan itu berkata, sebuah loji janakuasa diperlukan untuk mengekalkan sekurang-kurangnya satu bulan inventori bahan api.
Katanya, bagi perolehan, arang batu biasanya ditempah tiga bulan sebelum penghantaran manakala stok arang batu biasanya tiba kira-kira enam minggu kemudian. - DagangNews.com