Malaysia 5.0, pemacu ekonomi digital negara - PM | DagangNews Skip to main content

Malaysia 5.0, pemacu ekonomi digital negara - PM

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Azmin Ali serta pemain industri selepas Majlis Perjumpaan Bersama Pihak Industri hari ini.

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 15 April - Sektor swasta harus mengguna pakai teknologi baharu dalam usaha mempercepatkan pemulihan pertumbuhan ekonomi, menurut Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

 

Beliau berkata, di sebalik pandemik COVID-19, ia telah mempercepatkan penerapan penyelesaian digital dan juga menggambarkan betapa pentingnya menaik taraf dan memperkukuhkan teknologi dan infrastruktur bagi mempermudahkan proses menjalankan perniagaan. 

 

Katanya, ini termasuklah mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh kurang mahir, apabila negara beralih ke fasa automasi dan pendigitalan. 

 

"Pandemik ini juga antara lain telah menjadikan agenda digital satu keperluan mendesak, bagi membolehkan berjuta-juta yang bekerja, belajar dan dihubungkan secara digital.

 

"Atas sebab itu, kerajaan baru-baru ini mengumumkan Pelan Tindakan Transformasi Digital, yang merangkumi pelan tindakan bagi memberi fokus untuk memperluaskan dan menambahbaik keterhubungan digital Malaysia," katanya. 

 

Beliau berkata demikian dalam majlis perjumpaan bersama pihak industri hari ini. Yang turut hadir, Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Azmin Ali dan Timbalannya, Senator Datuk Lim Ban Hong serta presiden pertubuhan industri dan dewan perniagaan.

 

Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) diperuntukkan sebanyak AS$12.7 bilion akan menjadi platform bagi negara mencapai aspirasi negara digital yang dihubungkan menerusi mudah alih, fiber dan akses tetap tanpa wayar dan menuju kepada teknologi 5G. 

 

Muhyiddin berkata, ini akan melonjakkan transformasi teknologi dan digital yang mana ia penting kepada trajektori ekonomi negara. 

 

Beliau menambah, Malaysia juga memperkenalkan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0) berasaskan industri bagi mempercepatkan ekonomi digital. 

 

"Di bawah inisiatif IR4.0 ini, kami memperkenalkan Malaysia 5.0 iaitu agensi transformasi digital untuk perniagaan, bagi menangani akses digital, kewangan inklusif, produktiviti dan pertumbuhan menerusi IR4.0 seperti fintech, blockchain dan kecerdasan pintar (AI). 

 

"Dengan Malaysia 5.0, ekonomi digital akan dijana menerusi sumbangan ke arah ekonomi yang lebih mapan dan lestari," katanya. - DagangNews.com