Malaysia berdepan risiko pemulihan ekonomi perlahan | DagangNews Skip to main content

Malaysia berdepan risiko pemulihan ekonomi perlahan

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 19 April - Kadar kebolehjangkitan dan kes COVID-19 yang kian mencanak seolah-olah memberi bayangan ekonomi negara bakal mengalami pemulihan yang lebih perlahan daripada jangkaan.

 

Situasi itu juga mencetuskan kebimbangan bahawa kawalan pergerakan dan sekatan rentas negeri yang dikuatkuasa ketika ini bakal dilanjutkan lagi, menurut jangkaan CGS-CIMB Research.

 

Ini bukan hanya meletakkan ekonomi negara dalam risiko, malah perolehan korporat juga berdepan pemulihan yang perlahan. 

 

“Statistik terkini mendedahkan hampir 700,000 telah menerima satu dos vaksin COVID-19, secara umumnya mencapai program vaksinasi Fasa 1. 

 

“Namun, ujian utamanya adalah Fasa 2, di mana kerajaan menyasarkan untuk memvaksin 9.4 juta individu dalam tempoh lima bulan.

 

“Bagi mencapainya, kami menjangkakan kerajaan perlu meningkatkan jumlah individu disuntik setiap hari, memastikan bekalan vaksin sedia ada mencukupi dan lebih ramai individu mendaftar, sekali gus divaksin,” jelas firma penyelidikan itu dalam nota kajiannya. 

 

Firma penyelidikan itu memberi amaran bahawa sebarang kelewatan dalam program imunisasi ditambah kes COVID-19 yang kian meningkat akan menjejaskan sentimen pasaran dan pelabur akan mengambil untung ke atas saham pemulihan.

 

CGS-CIMB mengekalkan unjuran FBM KLCI pada 1,699 mata dengan Inari Amertron Berhad, Public Bank Berhad dan Telekom Malaysia Berhad (TM) sebagai pilihan teratas.

 

Pada 15 April lalu, kes COVID-19 harian di Malaysia melepasi paras 2,000, pertama kali sejak 6 Mac lalu.

 

Sejak itu, kes baharu harian berlegar antara 2,195 hingga 2,551, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap lonjakan semula kes COVID-19 di negara ini. 

 

Malah, kadar kebolehjangkitan COVID-19  atau Ro/Rt juga meningkat kepada paras tertinggi bagi tahun ini, iaitu 1.19 pada 17 April lalu apabila orang ramai dibenarkan bekerja di pejabat serta sekolah, pusat beli-belah dan bazar dibuka.

 

Angka itu bermakna setiap 100 individu yang dijangkiti akan menular kepada 119 individu lain pula pada kitaran jangkitan seterusnya.

 

Setakat 17 April, sekitar 8.95 juta rakyat Malaysia telah mendaftar untuk vaksinasi, mewakili 38% daripada penduduk yang disasarkan, iaitu 23.6 juta untuk mencapai imuniti kelompok. 

 

Untuk rekod, Malaysia memulakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) pada 24 Februari 2021, dimulakan dengan vaksin Pfizer dan diperluaskan ke vaksin-vaksin lain termasuk Sinovac pada 18 Mac.

 

“Terdapat kebimbangan bahawa PICK ‘lari’ daripada sasaran untuk mencapai imuniti kelompok pada penghujung tahun ini kerana potensi kekurangan vaksin dan/atau pendaftaran vaksinasi yang perlahan.

 

“Kerajaan menjelaskan bahawa negara telah memperoleh akses kepada 66.7 juta dos vaksin COVID-19 dari lima pengeluar,” tambah CGS-CIMB lanjut. - DagangNews.com