Malaysia dan Perancis perkukuh hubungan ekonomi menerusi pelaburan | DagangNews Skip to main content

Malaysia dan Perancis perkukuh hubungan ekonomi menerusi pelaburan

KUALA LUMPUR 9 Sept. - Malaysia dan Perancis bakal memperkukuhkan lagi hubungan kerjasama ekonomi menerusi inisiatif pelaburan antara kedua-dua negara.

Sehubungan itu, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) mengalu-alukan cadangan kedutaan Malaysia di Paris, MEDEF International Perancis untuk menandatangani perjanjian persefahaman (Mou) yang melibatkan kedua-dua negara berkenaan.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Lim Ban Hong (gambar atas) berkata, MoU itu akan meletakkan MIDA sebagai titik penghubung untuk mengumpulkan maklumat berhubung pembangunan ekonomi Malaysia.

“Malaysia melihat nilai tinggi dalam menjalinkan hubungan dengan rakan perdagangan menerusi perjanjian dua hala dan serantau, Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA),” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

 

webinar
WEBINAR yang dianjurkan oleh MEDEF International dan MIDA pada 4 September 2020. - Gambar oleh Facebook Lim Ban Hong

 

Pada 4 September 2020, MEDEF International dan MIDA menganjurkan webinar yang bertujuan mengemas kini maklumat pihak berkepentingan Perancis dengan kemajuan Malaysia dalam mengurangkan kesan ekonomi COVID-19 kepada industri negara.

Menurut laporan Bernama, Perancis merupakan rakan perdagangan ke-18 terbesar Malaysia.

Setakat Disember tahun lalu, sebanyak 126 projek pembuatan telah dilaksanakan dengan kerjasama Perancis dan jumlah pelaburan bernilai RM4.36 bilion sekaligus mewujudkan sebanyak 10,913 peluang pekerjaan.

Pada webinar berkenaan, MIDA mengalu-alukan lebih banyak pelaburan Perancis ke dalam sektor kelengkapan pengangkutan (aeroangkasa), teknologi maklumat, farmaseutikal, saintifik dan kelengkapan ukur, elektrik dan elektronik serta pelbagai lagi. 

Ini berikutan negara berkenaan memiliki keupayaan yang inovatif.

Dalam masa sama, Perancis turut memuji Malaysia sebagai sebuah negara contoh yang berjaya menangani pandemik COVID-19 dengan baik. - DagangNews.com