Malaysia perlu manfaatkan permintaan tinggi minyak sawit di Afrika Timur - MPOC | DagangNews Skip to main content

Malaysia perlu manfaatkan permintaan tinggi minyak sawit di Afrika Timur - MPOC

Terdapat permintaan yang semakin meningkat terhadap minyak sawit mentah daripada kilang penapisan tempatan di Afrika Timur, khusus Kenya dan Mozambique, serta negara jiran. - Gambar REUTERS

KUALA LUMPUR 3 Ogos - Malaysia perlu memanfaatkan sektor barangan pengguna cepat laris (FMCG) untuk minyak sawit meningkatkan liputannya di Afrika Timur, dan menjana pendapatan daripada permintaan yang semakin meningkat terhadap komoditi ini susulan pertambahan penduduk di benua itu, menurut Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC).

 

Penolong Pengurus Bahagian Pemasaran dan Pembangunan Pasaran MPOC, Fatimah Zaharah Md Nan berkata Afrika mempunyai jumlah penduduk 1.2 bilion pada masa ini dan dijangka meningkat kepada 1.7 bilion pada 2030 dan 2.4 bilion menjelang 2050.

 

“Penghijrahan ke bandar terutama ke bandar utama seperti Nairobi, Maputo dan Dar es Salaam akan membawa perubahan dari segi pilihan makanan mereka kepada makanan yang mudah, sedia dimakan atau FMCG lain.

 

“Berdasarkan permintaan yang dijangkakan meningkat terhadap minyak sawit (dari sektor FMCG), terdapat keperluan untuk meneliti bahan berkualiti dan ekonomi dari segi kos bagi  menghasilkan (barangan) dalam kuantiti lebih besar dan pada harga yang berpatutan,” katanya dalam  webinar Forum Pasaran Digital yang dihoskan MPOC pada Selasa, Bernama melaporkan.

 

mpoc

 

Beliau berkata selain penghijrahan ke bandar, industri pelancongan di Afrika Timur juga menjadi faktor dorongan bagi permintaan lebih tinggi terhadap produk sedia dimakan dan FMCG.

 

Selain itu, syarikat tempatan Malaysia juga digesa membentuk usaha sama (JV) strategik di Afrika Timur, supaya akses pasaran dan perdagangan sempadan disokong oleh kerjasama serantau mereka.

 

Fatimah Zaharah berkata terdapat permintaan yang semakin meningkat terhadap minyak sawit mentah daripada kilang penapisan tempatan di Afrika Timur, khusus Kenya dan Mozambique, serta negara jiran.

 

“Oleh yang demikian, mempunyai JV dalam kemudahan pemprosesan dan penyimpanan merupakan satu idea pengembangan yang strategik. Lebih cepat dan murah untuk mengangkut barang ke Rwanda, Burundi, Uganda dan Republik Demokratik Congo.

 

“Lokasi strategik untuk kemudahan pemprosesan adalah penting untuk memastikan penghantaran yang teratur  dan mengelakkan kelewatan yang tidak perlu,” katanya.

 

Fatimah Zaharah menekankan bahawa  Malaysia perlu memanfaatkan kesempatan daripada kerjasama serantau yang kukuh, sama ada melalui Komuniti Afrika Timur, Kawasan Perdagangan Bebas Benua Afrika (AfCFTA) dan banyak lagi.

 

Melalui AfCFTA, kecekapan pasaran dijangka dapat ditingkatkan, mengurangkan kos menjalankan perniagaan, menyediakan persekitaran pelaburan yang lebih baik, mengurangkan halangan tarif atau bukan tarif, serta memudahkan dokumentasi import-eksport, katanya.

 

Mengenai minat syarikat Malaysia untuk melabur di Afrika Timur, beliau berkata ada syarikat Malaysia yang berminat untuk melabur di Kenya.

 

“Mereka (Kenya) sangat berminat untuk mempunyai syarikat Malaysia yang datang dan menyokong mereka secara teknikal untuk membangunkan ladang kelapa sawit mereka...namun, isu utama adalah tanah, kebanyakan pengeluar (kelapa sawit) kita memerlukan plot yang lebih besar untuk minyak sawit menjadi untung dari segi kos.

 

“Jadi, mereka perlu meneliti isu ini sebelum melabur di Afrika Timur. Kita perlu mengkaji dengan teliti, sudah pasti ada minat dan peluangnya cukup luas, tetapi mereka perlu mengkaji situasi ini terlebih dahulu sebelum melabur,” katanya. - DagangNews.com