Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 2 Okt. - Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) akan mengemukakan laporan akhir kajian situasi buruh sektor perladangan sawit Malaysia kepada Jabatan Buruh AS (DOL) dan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).
Menterinya, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, langkah itu adalah sebagai inisiatif untuk mengeluarkan sektor perladangan sawit Malaysia daripada senarai Trafficking Victims Protection Reauthorization Act (TVPRA).
"KPPK telah membentangkan kajian situasi buruh sektor perladangan sawit Malaysia dan telah diterima oleh Kabinet pada 24 Julai 2020.
"Dalam hal ini, laporan akhir kajian menyeluruh itu akan dikemukakan kepada DOL dan ILO sebagai salah satu inisiatif untuk mengeluarkan sektor perladangan sawit Malaysia daripada Senarai TVPRA," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Semalam, DagangNews.com melaporkan Amerika Syarikat (AS) menghalang pengimportan minyak sawit dan produk sawit dari FGV Holdings dan anak-anak syarikatnya dengan tuduhan menggunakan tenaga buruh paksa.
Menurut Jabatan Kastam AS, arahan sekatan itu adalah hasil penyiasatan selama setahun yang mendedahkan salah guna tenaga buruh dari segi mengekang pergerakan, ugutan, penipuan, keganasan fizikal dan seksual.
Bagaimanapun, FGV dalam satu kenyataan pada 26 September lalu memberitahu, pihaknya komited terhadap hak asasi manusia dan meletakkan piawaian buruh pada tahap tertinggi.
Baca: FGV kecewa tindakan Amerika Syarikat
Dalam pada itu, Mohd. Khairuddin menambah, kementeriannya juga akan terus mengadakan sesi libat urus dengan pemegang taruh bagi mencari penyelesaian efektif untuk menangani isu berkenaan.
Baca: Sekatan AS terdahap FGV dikhuatiri mendorong negara lain ambil langkah sama
Aktiviti Road Show turut dijalankan bagi memberi pemahaman dan penjelasan mengenai keperluan pematuhan syarat-syarat perburuhan untuk memastikan tiada amalan sedia ada boleh dikaitkan dengan buruh paksa.
Tambahnya, Malaysia juga komited mengenai isu perburuhan dalam sektor perladangan komoditi dengan memasukkan elemen kawalan perburuhan sebagai salah satu syarat pelesenan ladang sawit di bawah pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) yang berkuat kuasa secara mendatori mulai 1 Januari 2020.
"Pemahaman mengenai kewujudan buruh paksa dan buruh kanak-kanak dalam konteks ekonomi dan budaya Malaysia serta usaha kolektif pelbagai pihak dalam isu ini amat penting untuk meyakinkan komuniti antarabangsa tentang komitmen utuh dan kesediaan kerajaan dalam usaha untuk menangani isu-isu terbabit," ujar beliau. - DagangNews.com