Malaysia untung Indonesia naikkan cukai eksport minyak sawit | DagangNews Skip to main content

Malaysia untung Indonesia naikkan cukai eksport minyak sawit

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 7 Dis. - Pengeluar industri sawit huluan di Malaysia dalam kedudukan untung apabila kerajaan Indonesia meningkatkan cukai eksport minyak sawit di negara itu, kata CGS-CIMB Research.

 

Semakan semula kadar cukai berkenaan menjadikan minyak sawit negara lebih berdaya saing sekali gus melonjakkan harga produk itu sekiranya cukai eksport dilanjutkan ke pengguna. 

 

Ini menjadi berita gembira buat syarikat-syarikat seperti Hap Seng Plantations Holdings dan Ta Ann Holdings Berhad. 

 

“Bagi pengeluar integrasi minyak sawit di Indonesia seperti Golden Agri Resources (GGR), First Resources Ltd (FR), Astra Agro Lestari Tbk (AALI) dan Sime Darby Plants, perolehan estet mereka dijangka terjejas oleh struktur cukai eksport lebih tinggi tetapi kurang daripada pengeluar huluan kerana ini sebahagiannya diimbangi oleh perolehan hiliran lebih tinggi. 

 

“Perubahan cukai eksport tidak akan memberi impak signifikan ke atas ramalan perolehan memandangkan kami telah menjangkakan harga minyak sawit mentah (MSM) kepada RM2,500 setiap tan bagi tahun 2021,” kata CGS-CIMB dalam nota kajiannya hari ini. 

 

Kerajaan Indonesia telah lama mempertimbangkan untuk menaikkan cukai eksport sebagai langkah membiayai jurang harga besar antara biodiesel domestik dan minyak gas. 

 

Perubahan itu akan berkuatkuasa pada 10 Disember ini. 

 

Di bawah struktur baharu itu, cukai eksport minyak sawit akan dikaitkan dengan harga rujukan MSM. 

 

Cukai itu akan dinaikkan sebanyak AS$12.5 hingga AS$15/ tan untuk setiap kenaikan harga rujukan MSM AS$25/tan, melebihi AS$670/tan dan sehingga AS$995/tan.

 

Sebelum ini, cukai eksport itu kekal pada AS$25 hingga AS$55 bagi setiap tan MSM dan produk sawit yang diproses tanpa mengira harga MSM. 

 

“Inisiatif itu jelas menunjukkan kerajaan dan pemain industri di Indonesia komited untuk meneruskan B30 walaupun berdepan cabaran pembiayaan yang mana terbukti apabila harga minyak mentah merudum. 

 

“Ketika ini tidak diketahui berapa banyak dana yang dimiliki agensi pengurusan dana minyak sawit Indonesia, Badan Pengelola Dana Perkebunan Kelapa Sawit (BPDPKS) dan kami menjangkakan jumlahnya kecil,” tambah CGS-CIMB. 

 

Berdasarkan pengiraan kasar, setiap 34 juta tan minyak sawit dan produk berkaitan yang dieksport dari Indonesia pada 2021 berdasarkan kadar cukai baharu itu mampu membiayai program B30. 

 

CGS-CIMB mengekalkan penarafan 'neutral' terhadap industri itu di ASEAN. - DagangNews.com