Oleh DR SITI HAFSAH ZULKARNAIN dan MUSTAFA KAMAL MAT
PROJEK Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) merupakan projek landasan keretapi yang menghubungkan Bandaraya Kuala Lumpur dan Lembah Klang kepada tiga kawasan Wilayah Ekonomi Pantai Timur iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan.
Projek ini melibatkan jarak jajaran sejauh 665km dengan pembinaan 10 stesen penumpang dan kargo yang akan beroperasi dengan kelajuan 160km/j bagi tren penumpang manakala 80km/j bagi tren kargo.
Laluan perjalanan tren akan melalui 3 seksyen iaitu:
- Seksyen A yang menghubungkan Kota Bharu – Dungun,
- Seksyen B merupakan laluan Dungun – Mentakab dan,
- Seksyen C merangkumi laluan Mentakab – Pelabuhan Klang.
Selain dari penjimatan masa perjalanan antara bandar, projek ini juga akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi wilayah yang terletak berhampiran laluan tren tersebut.
Inisiatif yang telah dirancang oleh pihak kerajaan pada tahun 2016 melalui Suruhanjaya Pengangkutan Darat (SPAD) dan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dengan membuat market sensing bagi menentukan faedah projek dan mendapatkan pandangan serta idea dari pelbagai pihak yang terlibat dalam projek tersebut.
Hasil keputusan kerajaan untuk melaksanakan projek ini dijangka akan memberi manfaat jangka panjang kepada pelbagai pihak termasuk usahawan dan kontraktor tempatan.
Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) juga dijangka akan mendapat tempias dari projek ini bagi mengukuhkan lagi jaringan pemasaran produk keseluruh wilayah Semenanjung dengan mudah dan cepat.
Selain itu industri sampingan seperti inap desa, kedai makan dan runcit juga akan turut membuka peluang pekerjaan dan perniagaan baru kepada penduduk tempatan.
Bagi merangsang pertumbuhan ekonomi wilayah pantai timur juga, projek laluan tren ini akan memberi manfaat tambahan dengan mengurangkan kos pengangkutan antara Pantai Barat dan Pantai Timur Semenanjung selain memendekkan masa perjalanan antara bandar.
Masa perjalanan antara stesen ITT Gombak ke Kota Bharu dijangka mengambil masa lebih kurang 4 jam.
Melalui inisiatif ini juga harga barangan di pantai timur dapat dikurangkan dan merangsang pertumbuhan bandar-bandar kecil yang terletak pada jajaran laluan tren tersebut.
Selain itu pembinaan infrastruktur seperti ECRL ini juga mampu menarik minat pelabur dengan mewujudkan peluang pembinaan kawasan perindustrian di sekeliling jajaran tren.
Dalam mengecapi pemodenan dan pembangunan bandar, sudah pasti akan wujud pelbagai kesan sampingan yang akan dihadapi oleh masyarakat setempat.
Dalam proses pembinaan projek rel kereta api ini secara tidak langsung akan memberi kesan kepada alam sekitar iaitu pencemaran bunyi dan udara.
Situasi ini memberi kesan tidak selesa kepada penduduk akibat bunyi bising dari tapak projek serta udara kotor dan berhabuk.
Penyediaan infrastruktur kereta api sepanjang jajaran bagi tujuan penggunaan awam juga memaksa pihak kerajaan untuk mengisytiharkan kerja pengambilan balik tanah milik persendirian kepada penduduk yang terlibat dalam pembangunan projek tersebut serta bayaran pampasan yang sewajarnya akan diberikan.
Situasi ini akan memberi impak sosial apabila wujudnya rasa tidak puas hati dikalangan penduduk apabila tanah yang diambil oleh pihak kerajaan tersebut mempunyai kesan nilai sentimental kepada pemiliknya dan ada juga yang telah menetap di kawasan tersebut beberapa generasi lamanya.
Justeru itu pihak kerajaan perlu memastikan dan memantau perkembangan projek rel pantai timur ini agar dapat dilaksanakan dengan baik dan merealisasikan objektif asalnya untuk memacu pembangunan ekonomi wilayah pantai timur dan mewujudkan hab industri baru yang akan memberi manfaat kepada masyarakat setempat apabila projek ECRL ini mula beroperasi pada tahun 2027. – DagangNews.com
Sr Ts Dr Siti Hafsah Zulkarnain adalah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Pengurusan Hartanah Fakulti Senibina Perancangan dan Ukur UiTM
Mustafa Kamal Mat adalah Ketua Jabatan Pembangunan Modal Insan Keusahawanan Akademi Pembangunan PKS & Keusahawanan Malaysia (MASMED) UiTM