KUALA LUMPUR 27 Sept. - Malaysian Rating Corporation Bhd. (MARC) mengesahkan penarafan AAAIS dengan prospek stabil ke atas sukuk bernilai RM3.7 bilion TNB Western Energy Bhd.
Menurut MARC, penarafan TNB Western itu adalah setanding dengan penarafan kredit korporat syarikat induknya, Tenaga Nasional Bhd. (TNB).
Katanya, ia berdasarkan kepada kekuatan TNB melalui jaminan tanpa syarat dan tidak boleh dibatalkan bagi membiayai kelemahan dalam akaun perkhidmatan kewangan.
"Penarafan yang setanding ini juga disokong oleh usaha TNB untuk mengekalkan pemilikan penuh dalam TNB Western menerusi TNB Manjung Five Sdn. Bhd. yang dimiliki sepenuhnya," katanya dalam kenyataan hari ini.
TNB Western adalah enjin pendanaan bagi TNB Manjung Five bagi pembinaan 1,000 MW loji arang jana kuasa ultra-supercritical di Manjung, Perak.
Agensi penarafan itu berkata, ia menyedari loji tersebut berdepan masalah operasi berulang yang menyebabkan kadar pemadaman yang tidak dirancang (UOR) pada 39% setakat akhir 2020 berbanding had UOR PPA pada 6%.
Katanya, ini mengakibatkan TNB Manjung Five menerima bayaran kapasiti yang lebih rendah berbanding anggaran sebanyak RM154.4 juta manakala bayaran tenaga jatuh kepada RM522.6 juta.
"Berdasarkan unjuran aliran tunai, nisbah perlindungan perkhidmatan kewangan jangka panjang (FSCR) kekal pada 1.98x dengan minimum FSCR 1.24x pada 2023.
"Analisis senstiviti kami mendapati TNB Manjung Five berupaya menahan senario tekanan yang ringan dengan pengurangan 5% bagi bayaran kapasiti sebelum minimum FSCR jatuh di bawah 1.00x," jelasnya.
MARC menjangkakan keseluruhan prestasi loji itu akan meningkat dalam tempoh terdekat apabila TNB Manjung Five menangani isu operasinya.
"Ia akan diatasi dengan menaik taraf bilah kipas pada Februari 2021 dan kerja baik pulih bagi pemanas udara selesai menjelang Oktober 2021," tambahnya. - DagangNews.com