KUALA LUMPUR 5 Julai - Mark Arthun dilantik sebagai Pengerusi British Malaysian Chamber of Commerce (BMCC) yang baharu berkuat kuasa 29 Jun susulan mesyuarat agung tahunan BMCC ke-4.
Mark menggantikan Abrar A. Anwar, yang meletak jawatan sebagai pengerusi selepas menamatkan penggal dua tahun.
Mark, yang menjadi ahli lembaga BMCC sejak 2021 berkata beliau berhasrat sepenuhnya untuk mengukuhkan kekuatan BMCC sambil terus memacu bidang tumpuan utama seperti ESG (alam sekitar, sosial dan tadbir urus) pendigitalan, pembuatan, tenaga dan pendidikan.
“Melalui agenda utama ini, kami berhasrat untuk menambah lebih banyak kerjasama dan meningkatkan akses kepada kerajaan demi kepentingan ahli BMCC.
"Saya berharap dapat bekerjasama dengan pejabat eksekutif BMCC dan rakan-rakan ahli lembaga pengarah untuk mencari jalan dalam membuat penambahbaikan tambahan untuk mencapai matlamat kami menjadi dewan perniagaan nombor satu di Malaysia dan untuk memberikan nilai terbaik kepada ahli kami," katanya dalam
satu kenyataan.
Mark ialah Pengarah Urusan dan ketua tapak Smith & Nephew’s yang mempunyai pelaburan lebih AS$100 juta dalam kilang pembuatan di Pulau Pinang.
Mark menyelia semua operasi di Malaysia daripada pembinaan hingga pembuatan dan pengedaran produk ortopedik ke seluruh dunia.
Beliau adalah pakar dalam membangunkan dan menggunakan strategi operasi dalam peranti perubatan dan operasi aeroangkasa. Seorang jurutera perindustrian yang terlatih, Mark telah memegang kepimpinan di Abbott, Alere dan Boeing.
Sementara itu, Abrar yang akan kekal sebagai ahli lembaga untuk dewan itu berkata beliau berbangga dengan pencapaian BMCC sepanjang tempoh perkhidmatannya dalam mewujudkan persekitaran untuk kedua-dua perniagaan United Kingdom dan Malaysia untuk terus merebut peluang perdagangan dan pelaburan serta mengukuhkan hubungan perdagangan dua hala antara kedua-dua negara.
"Saya akan kekal dalam lembaga pengarah dan terus memberikan sokongan saya kepada Mark dan inisiatif serta aktiviti masa depan dewan," katanya. - DagangNews.com