Maybank IB jangka projek LRT Pulau Pinang bentuk semula landskap pasaran hartanah negeri | DagangNews Skip to main content

Maybank IB jangka projek LRT Pulau Pinang bentuk semula landskap pasaran hartanah negeri

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Ogos - Projek LRT Pulau Pinang dijangka menjadi pemangkin perubahan kepada ketersambungan pengangkutan yang lebih baik, tebus guna tanah di selatan pulau (930 hektar) akan membentuk semula landskap pasaran hartanah Pulau Pinang.

 

Firma penyelidkan itu berkata, projek itu akan menawarkan pelbagai peluang pembangunan baharu dalam sektor hartanah negeri termasuk kemungkinan perubahan corak permintaan hartanah komersial dari bahagian utara ke selatan Pulau Pinang.

 

Katanya antara penerima manfaat daripada projek itu termasuk beberapa syarikat seperti Eastern & Oriental Berhad, IJM Corporation Berhad dan Mah Sing Group Berhad yang mempunyai bank tanah di sepanjang jajaran trek berhampiran stesen LRT.

 

"Kerajaan sedang memuktamadkan butiran projek LRT Pulau Pinang melalui MRT Corp, meminta Permintaan Cadangan (RFP) pada 21 Ogos 2023 untuk pelantikan perunding reka bentuk, dan perunding kajian ketersambungan & mobiliti.

 

"Ini berikutan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Mei 2023 bahawa kerajaan akan memperuntukkan dana bagi mempercepatkan projek itu.

 

"Kontraktor yang dilantik disasarkan pada penghujung 2023 manakala kerja pembinaan boleh dimulakan pada awal 2024 sebaik sahaja model pelaksanaan keseluruhan dimuktamadkan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Di bawah pelan asal yang diluluskan pada 2019, projek akan menghubungkan Komtar di George Town ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di Bayan Lepas tetapi laluan itu kini dilanjutkan ke Tanjung Bungah.

 

Firma penyelidikan itu berkata, LRT Pulau Pinang akan menambah baik akses dan mengurangkan kesesakan yang semakin teruk di negeri itu.

 

Ia juga akan merangsang aktiviti ekonomi dan permintaan untuk hartanah berhampiran perhentian stesennya sambil menjadikan kawasan yang sebelum ini kurang mudah diakses lebih menarik untuk tujuan pembangunan hartanah.

 

Maybank IB mengekalkan penarafan neutral untuk sektor pembinaan dan hartanah di negeri itu.- DagangNews.com