KUALA LUMPUR 17 Ogos - UEM Sunrise Berhad dijangka meraih untung bersih sebanyak RM142 juta daripada projek pembangunan di Subiaco East, Perth, Australia Barat.
Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, projek pembangunan itu dijangka mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak A$450 juta merangkumi pembinaan dua pangsapuri (430 unit merangkumi 12% rumah mampu milik).
Pembinaan projek itu dijangka bermula pada 2026 dan siap sepenuhnya pada 2029.
"Dengan mengandaikan margin sebelum cukai sebanyak 15% dan 100% pengambilan, projek itu dijangka menghasilkan keuntungan bersih sebanyak RM142 juta pada 2029," katany dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma penyelidikan itu berkata, kawasan itu berhampiran presint hiburan Subiaco dan kejiranan West Leederville dan hanya lapan minit berjalan kaki dari Stesen Kereta Api Subiaco dan West Leederville.
Katanya, walaupun tanah itu tidak disertakan dengan permit pembangunan, garis panduan reka bentuk untuk dua lot itu telah diluluskan untuk ketinggian maksimum 30 dan 11 tingkat, masing-masing.
"UEMS perlu membangunkan tanah itu mengikut garis panduan dan dasar reka bentuk mengikut pelan induk pembangunan semula Subiaco East," katanya.
Maybank IB mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran 27 sen sesaham.- DagangNews.com