Maybank IB 'potong' unjuran KDNK negara kepada 4% daripada 4.5% bagi tahun ini | DagangNews Skip to main content

Maybank IB 'potong' unjuran KDNK negara kepada 4% daripada 4.5% bagi tahun ini

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Ogos - Maybank Investment Bank (Maybank IB) menyemak turun unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi 2023 kepada 4% berbanding 4.5%.

 

Firma itu berkata, pertumbuhan KDNK negara dijangka lemah selepas data Julai menunjukkan penurunan dalam indeks pengurusan pembelian (PMI).

 

Data itu juga menunjukkan pengeluaran perkilangan yang tidak memberangsangkan selain kelemahan dan dagangan eksport negara.

 

"Sebelum ini ramalan KDNK negara dinaikkan kepada 4.5% pada Mei 2023 selepas data pada suku pertama menunjukkan kesan positif didorong pembukaan semula ekonomi China namun kini keadaan itu sudah berubah.

 

"Bagaimanapun, keluaran minyak sawit mentah (MSM) yang merupakan proksi KDNK pertanian kembali mencatatkan kenaikan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, ekonomi Malaysia berkembang sederhana kepada 2.9% dalam suku kedua 2023, selepas mencatat pertumbuhan 5.6% pada suku pertama.

 

Pertumbuhan pada suku ini disokong oleh pasaran buruh yang bertambah baik, peningkatan permintaan dalam negeri yang berterusan dan aktiviti pelancongan yang semakin rancak.

 

Firma penyelidikan itu berkata, dengan mengehadkan kelemahan pada separuh kedua 2023, pertumbuhan KDNK akan dipacu oleh pemulihan aktiviti pelanconga dan momentum pertumbuhan pelaburan yang positif apabila lonjakan pelaburan sekor swasta diterjemah kepada peningkatan sebenar.

 

Katanya, pertumbuhan itu juga akan dipacu oleh kemajuan dalam projek infrastruktur utama yang sedang dijalankan.

 

"Terdapat juga perbelanjaan defisit kerajaan yang lebih besar pada separuh kedua 2023 selepas ia merosot kepada RM39.7 bilion pada separuh pertama berbanding RM45 bilion pada separuh pertama 2022, memandangkan defisit belanjawan 2023 sebanyak RM93.9 bilion," katanya.- DagangNews.com