KUALA LUMPUR 1 Sept - Maybank Investment Bank (Maybank IB) menyemak naik unjuran pendapatan FY23 hingga FY25 CIMB Group Holdings Berhad sebanyak 2% didorong pendapatan bukan faedah (NOII) yang tinggi.
Firma penyelidikan itu berkata, nisbah pembayaran dividen dijangka meningkat kepada 55% daripada 50%.
“Kami menjangkakan pulangan ke atas ekuiti (ROE) yang tinggi sebanyak 9.8% hingga 10% peratus untuk FY23 dan FY24, masing-masing berbanding 9.6%/9.8% sebelum ini.
"Walaupun begitu, unjuran ROE kami lebih rendah berbanding sasaran pengurusan sebanyak 10.2% hingga 11% tahun ini dan 11.5% hingga 12% untuk FY24," katanya dalam satu nota kajian.
BACA JUGA: Untung bersih CIMB Group melonjak 26.2% kepada RM3.42 bilion dalam separuh pertama 2023
CIMB mencatatkan keuntungan bersih tinggi sebanyak RM1.77 bilion pada suku kedua berakhir 30 Jun, 2023, daripada RM1.28 bilion pada tempoh yang sama tahun sebelumnya berikutan peningkatan NOII yang kukuh.
Hasil meningkat kepada RM5.33 bilion daripada RM4.88 bilion sebelumnya.
Sehubungan itu, bank tersebut mengumumkan dividen interim 17.5 sen sesaham, mewakili nisbah pembayaran sebanyak 55 peratus berikutan kedudukan modal, pembiayaan dan mudah tunai kumpulan yang kukuh.
"Kumpulan itu mempunyai dasar pembayaran dividen 40% hingga 60% yang meningkatkan kemungkinan pembayaran mencecah 60%, pada pandangan kami, memandangkan pengurusan sedang berusaha untuk meningkatkan ROE," katanya.
Firma penyelidikan itu berkata, pihak pengurusan kekal berhati-hati memandangkan cabaran global, kadar faedah yang tinggi dan persaingan deposit yang semakin tinggi.
Katanya, tekanan pendapatan boleh datang daripada kos yang lebih tinggi disebabkan oleh teknologi dan pelaburan operasi.
"CIMB juga akan memberi tumpuan kepada pengukuhan CASA dan francais deposit untuk menahan pemampatan NIM selanjutnya.
"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga asaran (TP) RM6.40 sesaham," katanya. - DagangNews.com