KUALA LUMPUR 29 Ogos - Maybank Investment Bank (Maybank IB) menyemak turun unjuran pendapatan AirAsia X Berhad sebanyak 16% hingga 29% berikutan keputusan suku kedua berakhir 30 Jun 2023 (2QFY23) yang mengecewakan.
Firma penyelidikan itu berkata, anggaran pendapatan dikira berdasarkan peningkatan penumpang pada FY23 caj pengguna yang lebih tinggi serta perbelanjaan pajakan pesawat yang lebih tinggi.
AirAsia X beralih daripada keuntungan bersih teras pada suku pertama 2023 sebanyak RM42.5 juta kepada kerugian bersih teras suku kedua sebanyak RM33.8 juta kerana ia terpaksa menurunkan tambang sebanyak 32% bagi menarik penumpang semasa.
Penumpang semasa adalah lebih perlahan mengikut musim dan perbelanjaan penyelenggaraan dan baik pulih (M&O) melonjak 82% kepada RM115.8 juta apabila lebih banyak pesawat kembali beroperasi.
"Pada separuh kedua tahun ini, AirAsia X menyatakan permintaan dan tambang penumpang semakin meningkat seperti yang kami jangkakan dan perbelanjaan M&O akan menjadi sederhana kepada RM90 juta setiap suku tahun," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma penyelidikan itu berkata, AirAsia X juga dijangka mencatat bahagian keuntungan sekali daripada AirAsia X Thailand lebih RM300 juta pada suku keempat 2023.
"Sekiranya AirAsia X mempunyai keuntungan daripada sekuiti AirAsia X Thailand, ia akan menambah RM16.5 juta. Kami menganggap tiada sumbangan daripada AirAsia X Thailand buat masa ini.
"Ini selepas penstrukturan semula hutang telah selesai untuk AirAsia X," katanya.
Firma itu menjangkakan separuh kedua 2023 AirAsia X menjadi lebih kukuh daripada separuh tahun sebelumnya berikutan permintaan dan tambang yang lebih tinggi secara bermusim ditambah dengan perbelanjaan yang lebih rendah secara berurutan.
Walaupun prestasinya di bawah jangkaan disebabkan perbelanjaan yang lebih tinggi daripada jangkaan, AirAsia X masih dijangka mengalami peningkatan selepas klasifikasi PN17 ditarik balik.
Maybank IB mengekalkan saranan 'beli' ke atas dengan harga sasaran (TP) yang disemak semula sebanyak RM3.01 sesaham. - DagangNews.com